Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'ASP Razlan' cadangkan subjek tatarakyat kembali diajar di sekolah
Diterbitkan:  Aug 12, 2024 1:20 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Seorang pelakon terkenal mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan semula mata pelajaran tata rakyat seperti yang pernah dilakukan di semua sekolah di Malaysia suatu ketika dulu.

Zulkifli Ismail yang popular menerusi watak ASP Razlan dalam siri Gerak Khas itu berkata, cadangannya tersebut dibuat bertujuan untuk melahirkan warganegara yang lebih sopan dan bertatasusila.

"Saya cadangkan supaya mata pelajaran tata rakyat diajarkan semula di semua sekolah di seluruh negara termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah swasta dan lain-lain.

"Untuk melahirkan warga yang lebih bersopan-santun dan bertatasusila," kata dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran itu Zulkifli turut menunjukkan sebuah buku lama subjek tata rakyat yang pernah diterbitkan di negara ini.

Buku yang dikongsikan itu bertajuk Tatara'yat ada-lah kera'ayatan yang baik ditulis bersama oleh C Michael dan T Daniel untuk kegunaan pelajar tingkatan satu.

Ia diterjemah oleh C Campbell dan Pustaka Bersatu yang beralamat di Lebuh Carnarvon, George Town di Pulau Pinang menjadi penerbitnya.

Ia diterbitkan pada 1966.

Untuk rekod mata pelajaran tata rakyat sebelum ini diajar di sekolah-sekolah di Malaysia sekitar 1970-an atau 1980-an.

Subjek itu kemudiannya diperkenalkan semula sebagai subjek sivik yang mengetengahkan ilmu kenegaraan, sejarah ringkas, adab, budaya silang bangsa dan penekanan terhadap prinsip Rukun Negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS