Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Erynne Erynna dedah ikatan perkahwinan 5 tahun terlerai
Diterbitkan:  Aug 10, 2024 6:09 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Pelakon Erynne Erynna mendedahkan perkahwinannya dengan suami, Afify Sazali sudah ternoktah dengan penceraian.

Meskipun berdukacita dengan perkara itu, Erynne mengakui dia tetap reda dengan setiap ketentuan illahi.

“Jika dulu saya kongsikan berita gembira pada 2019 sudah berkahwin, kini dengan dukacita saya ingin maklumkan sudah bercerai.

“Sudah tertulis sampai di sini saja jodoh kami dan inilah yang Allah takdirkan buat kami maka bercerailah kami atas izin-Nya,” katanya di media sosial.

Eryyne, 27 mengakui ujian yang didepaninya ketika ini sungguh berat.

Namun, pelakon yang dikenali dengan filem seperti Congkak, Cinta dan Damping Malam percaya Allah menguji hambanya kerana Dia sayang.

“Sungguh, ini ujian yang amat berat. Akan tetapi, Allah duga dan beri ujian pada hamba hamba-Nya yang Dia sayang.

“Dan tidak akan menguji hamba-Nya lebih dari kemampuan mereka,” katanya.

Erynne dan Afify mendirikan rumah tangga pada 17 April 2019 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Medinah, 4 tahun.

Menurut pemilik nama penuh Syazlynne Erynna Abdullah itu, bekas suami adalah seorang bapa yang bertanggungjawab kepada anak mereka, Medinah.

“Alhamdulillah Ya Rahman Ya Rahim. Dan kami akan cuba menjadi ibu bapa yang baik kepada Medinah dan memberikan dia kasih sayang yang sepatutnya, insya-Allah.

“Kepada Muhamad Afify, terima kasih untuk segala-galanya. Semoga Allah membimbing, mempermudah, merahmati serta melindungi keluarga kamu sentiasa,” katanya.

Erynne juga berharap peminatnya mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga.

“Doakan yang baik baik untuk kami sekeluarga ya, dan kami juga mendoakan segala yang terbaik buat semua,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS