Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bantuan ke Gaza: Instagram sekat akaun acara kumpul dana
Diterbitkan:  Aug 8, 2024 9:04 PM
Dikemaskini: Aug 9, 2024 5:07 AM

Platform media sosial Instagram mengalih keluar akaun yang digunakan untuk mempromosikan perlawanan bola sepak amal yang dijadual berlangsung di Shah Alam pada Sabtu ini.

Perlawanan anjuran penyanyi Yuna dan beberapa pihak lain itu bertujuan mengumpul dana bagi Misi Bantuan Kemanusiaan Karisma bagi menghantar bantuan makanan ke Gaza.

Pengguna yang cuba mengakses akaun Instagram @freedomfootballkl akan menerima mesej berbunyi: "Maaf, halaman ini tidak tersedia. Pautan yang anda ikuti mungkin rosak, atau halaman mungkin telah dipadamkan."

"Saya tidak terkejut. Saya juga tidak akan terkejut jika pengikut saya tidak dapat melihat hantaran ini," kata Yuna di akaun Instagramnya.

"Kami menghadapi banyak cabaran untuk mengadakan acara kecil ini (yang merupakan inisiatif akar umbi dan bebas sepenuhnya), dari akaun Instagram kami yang dinyahaktifkan hingga penaja yang tidak mahu bekerjasama dengan kami, tetapi kami tidak akan berputus asa," katanya.

Yuna juga memaparkan tangkap layar menunjukkan dia merayu dalam Instagram tersebut.

Meta - yang memiliki Instagram, Facebook, WhatsApp, dan perkhidmatan lain - mendapat perhatian berhubung dasar moderasi kandungannya sejak konflik antara Israel dan Hamas meingkat pada 7 Oktober tahun lalu.

Pada Disember tahun lalu, NGO antarabangsa Human Rights Watch menerbitkan laporan 51 halaman yang memperincikan kes-kes "penyingkiran tidak wajar" kandungan pro-Palestin termasuk ungkapan sokongan untuk keamanan Palestin dan perdebatan awam mengenai hak asasi manusia di Palestin.

"Human Rights Watch mendapati bahawa masalah ini berpunca daripada dasar Meta yang cacat dan pelaksanaannya yang tidak konsisten dan salah, terlalu bergantung kepada alat automatik untuk memoderasi kandungan, serta pengaruh kerajaan yang tidak sewajarnya terhadap penyingkiran kandungan," katanya.

Baru-baru ini, Meta juga mendapat kritikan daripada pihak berkuasa Malaysia selepas ia memadamkan hantaran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Facebook dan Instagram yang mengecam pembunuhan ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Meta kemudian mengembalikan hantaran Anwar dan memohon maaf atas apa yang digambarkan sebagai "kesilapan operasi". Hantaran yang dikembalikan itu termasuk nota yang menyatakan bahawa ia melanggar garis panduan komuniti Meta tetapi dibiarkan untuk "kesedaran awam."

Sementara itu, Yuna berkata tempahan telah dibuat untuk program pengumpulan dana itu dan peserta yang hadir perlu menunggu emel yang mengandungi maklumat lanjut mengenai acara tersebut.

"Saya berharap ia semudah berkongsi satu hantaran, tetapi malangnya tidak! Jadi, nantikan emel daripada kami," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS