Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zain anggap siri Oh My English! rahmat dan 'sumpahan' sekali gus

Meskipun menyifatkan pembabitannya dalam siri Oh My English! (OME) adalah suatu rahmat, Zain Saidin tidak menolak kemungkinan drama berkonsep komedi pendidikan itu juga menjadi 'sumpahan' yang terpaksa ditanggung hingga kini.

Suami kepada aktres popular Rozita Che Wan atau Che Ta itu menjelaskan walaupun lakonan dalam OME meninggalkan impak besar dari segi kerjaya lakonan, pada masa sama siri itu membuatkan dia terpaksa ‘bersara’ lebih awal dari sepatutnya.

“Drama OME adalah titik tertinggi dalam perjalanan lakonan saya dan buat saya lebih dikenali.

"Tapi kekurangannya ialah selepas itu tak banyak tawaran berlakon yang saya. Saya jadi seperti veteran muda sebab dah tak ada tawaran sejak enam tahun lalu.

"Nama saya selalu ditolak stesen TV," katanya.

Hanya sesekali, tambah Zain, dia menerima tawaran untuk peranan kecil atau sekadar menjadi pelakon undangan.

“Sebab tu kalau ada syarikat produksi bertanya sibuk atau tidak, atau beri tawaran, saya cadangkan mereka bertanya dulu kepada stesen TV sama ada nama saya diluluskan atau tidak.

"Saya memang tak kerja, jadi saya OK saja, cuma saya fikir kemungkinan besar nama saya tidak lepas (ditolak),” katanya.

Andaian Che Ta tak bagi

Apabila ditanya apakah alasan namanya sering ditolak stesen TV, Zain menjawab, ada segelintir pihak menganggap tiada lagi watak lain yang dapat menandingi peranannya dalam OME.

Bahkan, katanya ada juga yang memberi alasan raut wajah kacukan Melayu-Inggeris dimilikinya menyebabkan dia sukar mendapat gandingan sesuai.

“Apabila ada wartawan bertanya apa perkembangan karier, saya pernah beri jawapan: uruskan perniagaan kasut, tapi lepas itu mungkin produksi fikir saya terlalu sibuk dengan pekerjaan.

“Ada juga spekulasi timbul anggap Che Ta halang saya daripada berlakon, sedangkan keadaan adalah sebaliknya.

"Sebagai ketua keluarga, kalau saya bekerja dapat gaji, duit itu ke mana? Kepada Che Ta juga.

“Ada juga produksi berkata sukar cari wajah sesuai untuk gandingan ibu bapa misalnya. Takkan saya asyik nak jadi anak angkat saja. Itu dah selalu sangat!” katanya.

Zain berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Astro di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Pun begitu, Zain, 40, mengakui dia reda dengan takdir tersebut, malah berkata dia tidak sesekali menyesal menerima tawaran menjayakan OME sebelum ini.

“Saya tidak terkilan cuma sedih. Takkanlah tak ada tawaran (memberangsangkan) langsung enam tahun ini, tapi saya tetap positif, saya tetap tunggu tawaran muncul,” katanya.

Menurut Zain, sekiranya nasibnya masih tidak berubah sebagai pelakon dia bercadang untuk mewujudkan saluran YouTube bersama anaknya, Aisyah Dhia Rana.

“Mungkin kami akan hasilkan program memasak misalnya. Cuma terus terang, saya tak pandai masak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS