Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
LAPD siar gambar suspek tembak mati Johnny Wactor
Diterbitkan:  Aug 6, 2024 2:15 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) menyiarkan gambar tiga individu yang disyaki terbabit kes tembak mati bekas pelakon General Hospital, Johnny Wactor pada Mei lalu.

Gambar berbutir (grainy) disiarkan pihak berkuasa itu menunjukkan individu terbabit memakai jaket berhud selain, dan polis memaklumkan lelaki yang melepaskan tembakan mempunyai tanda cacahan pada bahagian atas mata kiri dan pipi kanannya.

Gambar juga menunjukkan kenderaan sedan empat pintu Infiniti Q50.

Bagaimanapun, polis memberitahu ia adalah kenderaan curi.

Wactor ditembak mati selepas dia menghabiskan waktu bekerja di sebuah bar pada 25 Mei lalu. Mendiang berusia 37 tahun.

Dia terkenal dalam drama bersiri General Hospital dengan membawa watak sebagai Brando Corbin dari 2020 hingga 2022. Selain itu, pelakon terbabit juga pernah beraksi dalam siri TV Criminal Minds dan Siberia.

Ibu Wactor memberitahu, ketika kejadian, pelakon terbabit sedang berjalan dengan rakan sekerjanya apabila dia melihat seseorang yang disangkanya sedang membaiki kenderaan rosak.

LAPD dipetik CNN berkata, hal sebenar yang berlaku ialah tiga lelaki sedang cuba mencuri penukar pemangkin (catalytic converter) apabila Wactor kebetulan lalu di situ.

Menurut pihak berkuasa, seorang daripada suspek mengeluarkan sepucuk pistol sebelum menembak pelakon berkenaan dan meninggalkan tempat kejadian dengan sebuah kenderaan.

Pada sidang media diadakan keluarga dan rakan Wactor pada pada Jun lalu, ahli majlis bandar raya Los Angeles, Kevin de Leon, menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu polis.

“Pencuri penukar pemangkin sering dilihat sebagai jenayah kecil atau tiada mangsa, tapi bukan itu yang berlaku pada Wactor.

“Insiden tragis ini membuktikan betapa cepatnya perbuatan sebegitu boleh bertukar menjadi keganasan yang membawa maut," kata mereka.

Rakan dan pelakon Micah Parker pula menggesa LAPD tidak berhenti memburu sehinggalah suspek dibawa ke muka pengadilan.

“Dari sudut kepercayaan, saya seorang pemaaf, tapi kamu tidak boleh terlepas daripada perbuatan kamu.

“Kamu tidak boleh mengganas, mencuri dan membunuh di tempat kami tanpa dihukum,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS