Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
M Nasir pernah sangat teruja, terpekik-pekik nama Jay Jay

Penyanyi dan komposer terkenal, M Nasir mengakui dia adalah antara peminat awal Allahyarham Jay Jay sewaktu penghibur itu memulakan kerjayanya sebagai vokalis kumpulan Carefree.

Kata M Nasir, kenangan paling tidak boleh dilupakan bersama arwah ialah apabila terkenangkan keterujaannya saat menanti penyanyi terbabit membuat persembahan.

Malah, katanya, dia sendiri terpekik-pekik menyebut nama Jay Jay dari tempat penonton.

“Saya peminat awal dia dulu. Sayalah yang terpekik-pekik nama Jay Jay di di belakang apabila arwah masuk panggung untuk buat persembahan.

“Semasa itu saya belum jadi penyanyi lagi, tapi Jay Jay sudah jadi artis rakaman dengan kumpulan Carefree,” katanya.

M Nasir memberitahu sewaktu melawat Jay Jay di hospital sebelum ini dia dapat melihat penyanyi terbabit seperti sudah bersedia untuk menghadap Ilahi.

Pun begitu, katanya, dia tetap berharap Jay Jay dikurniakan kesembuhan semula dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya berasa sangat sedih sebab saya mengharapkan dia sembuh.

“Tapi kali terakhir saya jumpa dia nampak seperti sudah bersedia nak pergi dan kita tahu Allah lebih sayangkan dia,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi jenazah Jay Jay untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Tandang, Petaling Jaya hari ini.

Jay Jay, 67, meninggal dunia akibat kegagalan beberapa organ dalaman di Hospital Thomson, Kota Damansara malam tadi. Sebelum itu dia uzur selepas diserang angin ahmar sebanyak dua kali.

Sentiasa tekun, enggan buang masa

Jay Jay meninggalkan seorang balu, Zaitoon Wahid dan empat anak iaitu, Nur Amalina, 38; Nur Dahlia, 36; Muhammad Nifail, 32; dan Nur Camelia, 28 serta enam cucu.

Jenazah penyanyi kelahiran Kedah itu selesai dikebumikan kira-kira jam 11.15 pagi tadi.

Sementara itu, penyanyi dan komposer Ramli Sarip, 71, menyifatkan pemergian Jay Jay sebagai satu kehilangan besar buat industri seni di negara ini.

Katanya, sebagai pemuzik Jay Jay sering dikenali sebagai seorang yang sentiasa lengkap dan kemas dalam penampilannya.

“Kalau tanya pada kawan-kawan semua, pasti mereka akan cakap arwah ni bekerja tidak suka main-main, serta jaga pakaian (penampilan).

"Ini perkara yang akan saya selalu kenang mengenai arwah. Saya kehilangan seorang adik dan sahabat yang baik.

“Kalau sebagai pemuzik pula dia seorang yang tekun dan tidak suka buang masa, susah nak cari pemuzik begini sekarang,” katanya.

Ramli Sarip

Menurut bekas vokalis Sweet Charity itu, Jay Jay dilihatnya terus melakar sejarah dan pencapaian tersendiri selepas keluar dari kumpulan Carefree.

“Dia terus berjalan ke depan. Saya rasa selepas keluar dari Carefree dia tidak menoleh belakang lagi sebaliknya dia mencipta nama sebagai penerbit," katanya.

Dia yang ditemui semasa majlis pengebumian Jay Jay berkata, kali terakhir dia bekerjasama dengan arwah adalah selepas perintah kawalan pergerakan berlalu.

Sewaktu bertemu Jay Jay pada waktu itu, katanya, dia dapat melihat perubahan pada sosok tubuh penyanyi Kiranya Kau Mendengar Ketika Ini berkenaan namun menganggapnya perkara biasa.

Menurut Ramli, pertemuan itu berlangsung di Kota Bharu, Kelantan, dan dia hampir tidak mengenali penyanyi berkenaan kerana perubahan badan yang ketara.

Tambahnya lagi, sejak tahu Jay Jay sakit, dia tidak pernah putus mendoakan agar Allah memberikan rakannya itu kedamaian.

"Jay Jay adalah Rindu Bayangan yang jadi kenangan buat selama-lamanya,” kata Ramli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS