Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Anak bongsu kepada Allahyarham Jay Jay mendedahkan bapanya pernah meluahkan hasrat untuk memiliki dan memandu kereta idaman jenama Volvo sekiranya dia kembali sihat.

Walaupun mereka adik-beradik berhasrat untuk menunaikan impian itu, Nur Kamelia Mohd Fauzi berkata, hasarat tersebut tidak kesampaian apabila penyanyi terbabit pergi buat selama-lamanya malam tadi.

“Arwah papa pernah cakap kepada saya yang dia suka kalau dapat dibelikan kereta Volvo idamannya.

“Jadi kami sebagai anak-anak cuba layankan sajalah,” katanya ketika ditemui di Majid Al-Husna Bandar Sunway, Petaling Jaya hari ini.

Menurut Nur Kamelia, tiada pesanan tertentu dititipkan arwah bapa itu kecuali meminta agar semua empat beradik itu bersama-sama menjaga ibu mereka, Zaitoon Wahid.

Allahyarham Jay Jay - atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus - meninggal dunia dalam tidur kira-kira jam 9.30 malam tadi akibat komplikasi kegagalan organ dalaman.

Dia menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Thomson di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Jay Jay, 67, meningalkan seorang balu iaitu Zaitoon, empat anak dan enam cucu.

Nur Kamelia memberitahu, bapanya menunjukkan perubahan kesihatan yang ketara malah kurang bercakap selepas dua kali diserang angin ahmar.

Pun begitu, katanya, penyanyi dan pemain gitar bass itu menunjukkan semangat juang yang sangat tinggi untuk melawan kesakitan yang dihidapinya.

“Keadaan papa jadi semakin teruk lepas menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass) kerana berlaku kegagalan pada beberapa bahagian organ dalaman.

“Papa juga sepatutnya dibenarkan pulang (dari hospital) minggu lalu tapi ada jangkitan kuman dalam air kencing.

“Kemudian, organ lain pula mengalami kerosakan.

“Tapi dia memang sangat cekal dan bersemangat untuk sihat semula,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS