Paling Popular
Terkini

Balu kepada Allahyarham Jay Jay, Zaitoon Wahid, berkata dia reda sepenuhnya dengan pemergian abadi penyanyi terkenal berkenaan selepas selepas bertarung dengan kesan penyakit angin ahmar dialaminya.

Kata Zaitoon, akibat serangan itu, arwah mula berdepan komplikasi organ dalaman selepas sambutan Aidilfitri lalu.

“Dia pergi dalam keadaan tenang selepas apa yang dilalui, dia tidur dan pergi buat selamanya.

“Selepas pembedahan pintasan jantung dibuat dibuat pada Jun lalu, dia mula mengalami komplikasi,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Husna, Bandar Sunway di Petaling Jaya hari ini.

Menurut Zaitoon, 61, ketika Jay Jay menghembuskan nafas terakhirnya, dia dikelilingi dengan ramai anggota keluarga.

“Anak-anak dan adik beradik arwah semuanya ada.

“Alhamdulillah kami tengok dia pergi dengan baik, dan sebelum itu dia tiada pun tunjuk tanda-tanda dia sakit tapi keadaanya makin teruk selepas raya lalu,” katanya.

Zaitoon Wahid bersama pencipta lagu terkenal, S Atan

Zaitoon dan ahli keluarganya hadir di masjid bagi proses pengurusan jenazah.

Kira-kira 200 orang kenalan dan keluarga hadir ke masjid berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir kepada penyanyi itu yang mula dikenali dengan kumpulan Carefree sebelum muncul sebagai artis solo kemudiannya.

Antara lagu dendangan Jay Jay - atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus - yang popular ialah Rindu Bayangan, Cukuplah Sekali, Keasingan Dalam Luka dan Perjalanan Ke Syurga.

Sementara itu, adik kepada penyanyi terbabit, Melor Wati, menyifatkan arwah sebagai seorang abang yang penyayang.

Katanya, dia sebagai adik pasti akan berasa kehilangan.

“Dia memang sangat penyayang, bukan dengan adik beradik saja tapi dengan isteri dan anak-anak.

“Saya sebagai adik amat terasa kehilangan arwah.

“Dia memang sangat pentingkan semangat kekeluargaan,” katanya.

Sementara itu jenazah Jay Jay, 67, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang di Petaling Jaya kira-kira jam 11.15 pagi hari ini.

Jenazah itu asalnya dibawa dari Hospital Thompson untuk disembahyangkan di Masjid Al Husna kira-kira jam 9.30 pagi.

Antara personaliti yang hadir termasuklah S Atan, DJ Dave, Hattan, Aris Ariwatan dan M Nasir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS