Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Melly Goeslow, Jamal Abdillah gegarkan bandar raya Kuantan

Meskipun ditimpa hujan pada permulaan persembahan, lebih 25,000 pengunjung tidak berganjak dan setia menanti artis kesayangan mereka beraksi bersempena dengan Pesta Kuantan 188 di Kuantan, semalam.

Berlangsung di perkarangan menara kedua tertinggi di Malaysia, Kuantan 188, pesta tahunan itu menampilkan artis popular dari negara seberang Melly Goeslow, penghibur legenda tanah air Datuk Jamal Abdillah serta Black Hanifah dan kumpulan DeFam.

Gabungan artis tempatan dan luar negara itu memberikan tenaga luar biasa kepada penonton, terutama ketika persembahan ratu runut bunyi Melly atau nama sebenar Melliana Cessy Goeslow, 50, yang muncul di akhir persembahan dan mendendangkan tiga buah lagu.

Tampil berbusana rona gelap hitam, Melly memulakan persembahan dengan lagu beliau yang cukup popular satu ketika dulu, iaitu Jika, sebelum menyampaikan lagu yang sinonim dengannya, Ada Apa Dengan Cinta yang pernah didendangkan dengan penyanyi Eric.

Malah, ketika mahu melantunkan lagu terakhirnya Ku Bahagia, penghibur itu membuatkan peminatnya tidak senang duduk apabila turun dari pentas dan berinteraksi dengan mereka yang kelihatan begitu teruja dapat melihat sosok penyanyi tersebut secara lebih dekat.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli ke Pesta Kuantan 188 yang diadakan bersempena dengan ulang tahun hari keputeraan baginda berdua.

Di pertengahan persembahan, kemunculan Jamal memukau penonton dengan lontaran suara yang bertenaga meskipun sudah berusia 65 tahun, ketika menyanyikan lagu malar segarnya Kekasih Awal Dan Akhir serta Aku Penghiburmu.

Penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia turut kelihatan bersemangat dan penuh perasaan mengikuti nyanyian pelakon filem Azura itu yang juga bapa kepada penyanyi Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani.

Malah, Al-Sultan Abdullah turut berkenan naik ke pentas dan berduet dengan raja pop itu menerusi lagu Gadis Melayu, serta sempat mencuit hati pengunjung apabila baginda bertitah "gemuruh jugak ni".

Black tidak kurang hebatnya, membuatkan penonton tidak kering gusi menerusi gelagatnya semasa berduet dengan seorang pengujung mendendangkan lagu Teman Pengganti selepas menyanyikan lagu Sofea Jane, dan Aku Rindu Sayang Kamu.

Kumpulan yang melonjak populariti ketika musim perayaan baru-baru ini menerusi lagu Alamak Raya Lagi, DeFam muncul di awal persembahan dengan aksi lincah melantunkan tiga buah lagu, iaitu Berubah, Super Girl dan Panas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS