Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
KOMENTAR | Filem bukan lagi cuma gaduh, adegan panas

KOMENTAR | Saya mungkin generasi beruntung kerana lahir pada 1960 - ketika wayang pacak membudaya dalam kehidupan. Hampir setiap akhir bulan van jabatan penerangan tiba di kampung kami.

Petugasnya memacak layar putih ketika senja dan pada malamnya orang kampung bersila di padang untuk menonton wayang pacak.

Mungkin sebahagian besar filem dan drama pernah ditonton di kaca TV Sanyo 16 inci. Siri Potret Pekerti lakonan Nor Azizah, Karim Latif, Ismail Hutson, Lai Joo Lian dan Aziz Singah bukan asing kepada kami.

Drama berkenaan diulang tayang berkali-kali, namun kami tiada pilihan.

Wayang pacak tetap menjadi perhatian kerana ia satu-satunya hiburan percuma yang ada di desa. Wayang pacak menemukan kami yang status sosial tidak jauh bezanya.

Kami anak penoreh, petani dan buruh kasar yang sedang mengisi makna kemerdekaan.

Ketika itu hiburan kami ialah TV hitam putih yang menayangkan drama, filem dan berita menerusi TV1 dan TV2 semata-mata. Kami belum kenal Wan Zaleha Radzi dan TV3.  RTM adalah masterpiece buat kami.

Apabila wayang pacak datang pada akhir bulan, malamnya dianggap meriah kerana itulah peluang melepak bersama kawan dan berkumpul di padang. Wayang pacak bersaiz besar dan meriah dengan gelak tawa beramai-ramai penontonnya.

Sukar terima logik

Berbeza saiz TV yang kecil, wayang pacak memenuhi selera kami untuk layar lebih besar walaupun filem hitam putih.

Petugas jabatan penerangan lazimnya memberi peluang kami menonton selama 30 minit sebelum dihentikan selama 20 minit. Masa ‘rehat’ itu digunakan untuk ceramah kerajaan Perikatan.

Kami tiada pilihan untuk mendengar tentang rancangan pembangunan luar bandar, penanaman padi dua kali setahun dan perpaduan kaum.

Lazimnya penceramah akan sebut nama Tunku Abdul Rahman yang bijaksana memimpin rombongan kemerdekaan di London. Nama Tun Razak Hussein, Senu Abdul Rahman dan Khir Johari juga disebut sebagai  tokoh penyelamat bangsa Melayu.

Kami diingatkan tentang ancaman komunis yang menggugat demokrasi, di samping anasir jahat yang bertopengkan agama. Isu kafir-mengkafir belum menular di kampung kami kerana ketika itu ustaz yang belajar di Timur Tengah belum balik ke Kelantan dan Terengganu.

Saya tidak pasti sejauh mana wayang pacak berjaya membasuh akal penduduk kampung kerana kalangan kami adalah lubuk PAS yang taasub kepada Asri Muda.  

Orang yang lahir dalam keluarga PAS di Kelantan amat sukar menerima pandangan logik pihak luar apatah lagi jabatan penerangan dikenali sebagai agensi partisan pemerintah.

Sesekali kami teruja menerima wayang pacak yang lebih real tajaan syarikat minuman terkenal. Lazimnya setiap tiga bulan van berlogo minuman singgah di kampung kami dan menayangkan filem koboi warna-warni.  

Kami seronok dapat minuman percuma, selain menonton filem orang putih. Adegan tembak-menembak dan peluk cium sesuatu yang baru kepada kami ketika itu.

Saya mengenali filem Once Upon a Time in the West menerusi wayang pacak. Filem terbitan 1968 itu dianggap epik Western terbaik ketika itu yang menampilkan Henry Fonda, Charles Bronson, Claudia Cardinale dan Jason Robards amat mengesankan.

Kisah tukang gunting

Saya belajar memahami budaya Barat melalui filem berkenaan. AS yang kononnya bertamadun awal berbanding wilayah lain mempunyai sisi gelap yang luar biasa.

Pembunuhan adalah budaya rebutan kawasan lombong dan lembu ternak. Rompakan adalah rukun politik moden yang bertapak sehingga kini.

Once Upon a Time in the West mendedahkan ciri-ciri filem yang mendidik minda walaupun watak koboi kasar. Dari sisi itu saya tabik kepada wayang pacak sebelum kita mengenal teknologi filem warna-warni, pita video, VCD, DVD dan kini hiburan dalam talian.

Kemajuan perfileman melahirkan genius filem seperti Steven Spielberg. Dia bukan sahaja pengarah filem bilion dolar, juga penerbit dan perakam yang luar biasa.

Spielberg berjaya menyingkirkan saki-baki wayang pacak dalam kehidupan.

Dia memenangi  Academy Award untuk filem Schindler's List dan Saving Private Ryan yang dianggap pro-Yahudi. Kedua-dua filem itu pernah diharamkan di Malaysia dan saya membeli DVD di Kuta, Bali pada 2005.

Hari ini fungsi filem bukan sekadar hiburan dan dakyah. Filem sudah menjadi analisis manusia seperti Maharaja sedang tular ketika ini.

Pelbagai bangsa dan negara memberi komen positif terhadap filem tersebut walaupun tidak memahami bahasa Tamil atau budaya di India.

Filem arahan Nithilan Swaminathan dan diterbitkan bersama oleh The Route, Think Studios dan Passion Studios itu mengisahkan hidup seorang penggunting rambut yang melaporkan kepada polis tentang kehilangan tong besi.  

Polis mengesyaki niat sebenar laporan lelaki berkenaan. Drama, intrig dan klimaks bermula daripada naratif yang mudah.

Maharaja memasuki panggung di seluruh dunia pada 14 Jun 2024 dan menerima ulasan positif daripada pengkritik. Filem itu mencatatkan kutipan tertinggi pada pembukaan minggu dan muncul sebagai filem Tamil dengan kutipan tertinggi pada tahun ini.

Memilih yang terbaik

Dunia terpegun kisah tukang gunting rambut menularkan isu rasuah, salah guna kuasa dan masalah sosial. Maharaja tidak mungkin berjaya di tangan pengarah dan penulis yang kurang bijak.

Beberapa bulan lalu pelakon Fauziah Nawi menulis di media sosial mengenai seorang pelakon yang filemnya tidak dapat sambutan di pawagam.

Artis berkenaan lupa sekarang bukan zaman wayang pacak yang penonton menerima apa sahaja sogokan daripada penerbit dan pengarah filem.

Penonton mempunyai pilihan menonton yang terbaik bagi  memenuhi selera mereka.

Puluhan filem tempatan dihasilkan setiap tahun bukan jaminan box office. Penonton memilih yang terbaik kerana saingan antara keperluan kehidupan semakin mendesak.  

Saingan filem daripada platform penstriman atau over-the-top (OTT)  semakin popular. Peningkatan jumlah penonton di platform digital  menjejaskan kehadiran di pawagam.

Platform sedemikian menawarkan banyak judul yang boleh dipilih dan ditonton pada bila-bila masa.

Wayang pacak semakin jauh kerana kehidupan memberi pelbagai pilihan yang tidak pernah kita duga.


IMLAN ADABI ialah sasterawan era 1980-an.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS