Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tamara dedah bekas kekasih sering seksa, ancam bunuh
Diterbitkan:  Jul 31, 2024 12:16 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Pelakon Tamara Tyasmara mendakwa bekas kekasih yang dituduh membunuh anaknya pernah memukul hingga gegendang telinganya pecah sewaktu mereka masih menjalin hubungan cinta.

Perkara itu dimaklumkan sewaktu dia memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan Raden Andante Khalif Pramudityo atau Dante, di Mahkamah Jakarta Timur baru-baru ini.

Pada peringkat awal, Tamara, 29, mengakui hubungan dia dengan Yudha Arfandi baik-baik saja sebelum situasi itu merosot apabila Yudha lebih banyak beremosi.

Katanya, keganasan dilakukan Yudha bermula pada Julai 2022.

Bahkan menurut pelakon filem Hantu Nancy itu, akibat sering dipukul Yudha, dia sampai lupa berapa kali bekas kekasihnya itu melakukan perbuatan berkenaan.

“Ya, sampai gegendang telinga pecah dipukul, ditinju, ditampar di kereta dengan tangan kosong. Itu yang menyebabkan gegendang telinga kiri saya terkoyak ,” katanya sambil menangis.

Media tempatan melaporkan, Yudha bukan setakat melakukan keganasan fizikal tetapi juga ancaman lisan seperti mahu membakar rumah mangsa dan keluarganya akan dibunuh.

Hal itu menyebabkan ibu anak satu itu tidak boleh berbuat apa-apa.

“Kalau putus hubungan, saya diancam, jadi saya takut. Saya putus dan sambung semula hubungan kami.

"Kadang-kadang ada nombor berbeza atau nombor dia yang ancam mahu bakar rumah, mahu bunuh pakcik saya.

“Saya tidak mahu teruskan hubungan kerana sikapnya seperti itu,” katanya.

Yudha sedang dibicarakan selepas disyaki membenamkan Dante ke dalam kolam renang awam sebanyak 12 kali.

Aksi kejam ke atas kanak-kanak malang berusia enam tahun itu terakam pada kamera litar tertutup yang ada di kolam renang.

Kejadian tersebut didakwa berlaku di Pondok Kelapa, Duren Sawit, Jakarta Timur pada 27 Jan lalu.

Pada masa sama, Tamara mendakwa dia banyak menyembunyikan keganasan dilakukan Yudha daripada ibunya dan Dante.

Disebabkan perkara itu, katanya, dia kerap tidak pulang ke rumah akibat badannya lebam-lebam agar keluarga di rumah tidak mengetahui hal tersebut.

“Dia juga ancam mahu bunuh saya, mahu bunuh anak saya. Dia juga ancam mahu sebar video saya mabuk, tapi semua bukti mesej itu sudah dihapuskan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS