Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penganjur Good Vibes Asia saman The 1975 RM11 juta
Diterbitkan:  Jul 31, 2024 10:49 AM
Dikemaskini: 2:49 AM

Penganjur festival Good Vibes Asia 2023 memulakan tindakan undang-undang dengan menyaman kumpulan pop rock British, The 1975, selain semua ahlinya secara individu berhubung persembahan kontroversi mereka pada Julai tahun lalu.

Menurut majalah hiburan Variety, dokumen mahkamah yang difailkan oleh Future Sound Asia di Mahkamah Tinggi UK menuntut pampasan sebanyak AS$2.4 juta (RM11 juta) selepas telatah kumpulan terbabit menyebabkan festival berkenaan dihentikan.

Penganjur mendakwa The 1975 dan pasukan pengurusan mereka menyedari banyak larangan yang perlu dipatuhi untuk membuat persembahan di Malaysia.

Selain pernah membuat persembahan pada 2016, kumpulan itu juga berulang kali diingatkan mengenai garis panduan yang ada menjelang persembahan mereka.

Untuk rekod pada Ogos tahun lalu, penganjur memberikan tempoh tujuh hari kepada The 1975 untuk membayar ganti rugi RM12.3 juta atas dakwaan pelanggaran kontrak yang dikaitkan dengan prestasi kontroversi mereka.

Menurut peguam Good Vibes Asia 2023, David Dinesh Mathew, kegagalan kumpulan terbabit membayar wang seperti yangdi tuntut akan mendorong mereka memulakan saman sivil di UK.

Mengikut tuntutan mahkamah, larangan yang dikenakan ke atas The 1975 termasuklah tidak memaki hamun, tidak merokok dan tidak minum arak di atas pentas.

Mereka juga dilarang menanggalkan pakaian dan bercakap tentang politik atau menyentuh isu agama. Di samping itu, terdapat juga larangan bercium, mencium penonton atau melakukan tindakan sedemikian sesama sendiri.

The 1975 dilaporkan bersetuju untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan sebagai balasan kepada bayaran AS$350,000 (RM1.6 juta).

Tuntutan itu berkata Agensi Pusat Permohonan Penggambaran dan Persembahan Artis Asing (Puspal) pada mulanya menolak permohonan band terbabit untuk membuat persembahan pada Julai lalu ekoran ada laporan mengenai isu ketagihan dadah penyanyi utama mereka, Matt Healy, pada 2018.

Bagaimanapun kumpulan itu merayu, dan Healy berjanji dia akan mematuhi semua garis panduan dan peraturan, yang menyebabkan permohonan itu diberi lampu hijau.

Variety melaporkan band The 1975 masih belum memfailkan pembelaan terhadap tuntutan mahkamah pihak penganjur, manakala wakilnya enggan mengulas.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS