Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penyanyi legenda Nona Asiah meninggal dunia
Diterbitkan:  Jul 30, 2024 2:13 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

Penyanyi legenda yang banyak meminjamkan vokal emasnya kepada filem era Seniman Negara, Allahyarham P Ramlee iaitu Nona Asiah meninggal dunia pada jam 4.25 pagi hari ini.

Berita dukacita itu dimaklumkan oleh anak bongsunya, Pengarah Muzik, Indra Shahrir Ismail melalui kiriman WhatsApp.

Sebelum itu, Nona Asiah atau nama sebenarnya Asiah Aman yang mengalami masalah demensia dilaporkan dalam keadaan tidak sihat dan dirawat di Hospital Besar Changi, Singapura sejak dua bulan lalu akibat masalah jantung, paru-paru serta ginjal.

Jenazahnya dimaklumkan akan dibawa pulang ke rumahnya di 77 Lorong Melayu hari ini.

Berita Harian SG melaporkan, salah seorang anggota keluarga Noni Asiah memaklumkan jenazah dijangka dikebumikan pada 31 Julai dengan anggota keluarga dari Australia dijadualkan menziarahi.

Penerima Pingat Budaya 2016, pengiktirafan tertinggi Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Singapura itu merakam dua lagu pertama ke piring hitam pada 1949 iaitu Ciumku Lagi (disesuaikan dari lagu Mexico yang malar segar, Besame Mucho) dan Bunga Sakura (lagu Jepun) pada awal kemunculannya.

Allahyarhamah yang mesra dengan panggilan Mak Nona ditawarkan sebagai penyanyi latar bagi filem keluaran Malay Film Production dan Cathay-Keris susulan sambutan baik pada lagu-lagunya.

Antara lagu yang mengetengahkan vokal merdunya termasuk Chinta, Nasib, Nilam, Rachun Dunia, Hujan Panas dan Bujang Lapok.

Nona Asiah dilahirkan dalam keluarga bangsawan dan amat menghargai jasa ibunya, Rahmah, dalam mendedahkannya kepada dunia bangsawan sebagai penghibur.

Kehidupan penyanyi yang juga pelakon, guru dan deejay itu dikelilingi orang-orang seni ketika menetap di rumah kedai sekitar Allenby Road, kawasan yang turut didiami seniwati Siput Sarawak.

Nona Asiah pernah bercerita pengalaman tidak dapat dilupakan sewaktu menghiburkan tentera Jepun di pangkalan tentera di Seletar dan Tengah.

Allahyarhamah dan beberapa anak panggung dibayar beras dan bahan makanan lain untuk membantu mereka mengharungi kesukaran pada waktu perang.

Selepas penyerahan Jepun, Nona Asiah diberi pekerjaan berbayar sebagai penyanyi yang melaksanakan permintaan lagu pada rancangan radio mingguan di Radio Malaya.

Nona Asiah yang berumah tangga dengan anggota Tiga Serumpun, Ismail Kassim, pernah berlakon bersama dalam filem arahan Nas Achnas, Pelangi.

Nama Nona Asiah merupakan pemberian P. Ramlee yang merupakan antara mentornya selain komposer lagu kebangsaan Majulah Singapura, Zubir Said.

Antara lagu terkenal Nona Asiah ialah Cempaka Biru, Hasan dan Hasnah dan Gelora Chinta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS