Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ms Puiyi menang saman penghakiman ingkar RM4.3j
Diterbitkan:  Jul 29, 2024 2:06 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Pempengaruh, DJ dan pelakon filem, Siew Pui Yi berjaya mendapatkan penghakiman ingkar (JID) sebanyak RM4.3 juta terhadap bekas rakan perniagaannya.

Aktres itu yang lebih dikenali sebagai Ms Puiyi memfailkan saman sivil terhadap bekas rakan perniagaannya pada April lalu atas dakwaan menipu wang berjumlah RM4.3 juta antara 2022 dan 2023 yang disediakan untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Saman sivil itu difailkan Ms Puiyi bertujuan mendapatkan semula wang yang ditipu.

Ms Puiyi mendakwa bekas rakan kongsi perniagaannya itu menipu dengan berjanji akan membantu dia menyelesaikan isu syarikat serta cukai pendapatan peribadinya dengan LHDN.

Ms Puiyi berkata, peguamnya telah memfailkan penghakiman ingkar terhadap bekas rakan perniagaannya yang dinamakan Lai Kai Jian atau Mentos, 26 Julai lalu.

“Kita berjaya mendapatkan penghakiman ingkar untuk wang berjumlah RM4.3 juta. 

“Untuk makluman, defendan bagi kes ini gagal hadirkan diri atau memfailkan dokumen bagi pihaknya,” katanya dipetik NST.

Ms Puiyi turut mendedahkan wajah bekas rakan perniagaannya dalam sidang media hari ini.

Sementera itu, peguam Ms Puiyi, K Mahendran berkata, dia menunggu arahan selanjutnya daripada anak guam sebelum melaksanakan perintah mahkamah.

Mahendran berkata, setakat ini, dia sudah melaksanakan beberapa prosedur untuk menghubungi Mentos namun tidak berjaya.

“Anak guam saya turut memfailkan laporan polis di ibu pejabat polis daerah timur pada 24 Oktober tahun lalu.

“Kami akan memaklumkan pihak polis keberadaannya. Saya diberitahu mereka sudah beberapa kali pergi ke rumahnya di Kuala Lumpur tetapi dia tiada di situ,” katanya.

Menurut Ms Puiyi, kali terakhir dia bertemu dengan Mentos adalah pada Ogos dan masih berhubung dengannya hingga Oktober tahun lalu.

Katanya, dia berjaya menyelesaikan masalahnya dengan LHDN tetapi syarat syarat penyelesaian tidak dapat didedahkan atas nasihat lembaga itu.

“Apa saya boleh beritahu adalah semua sudah diselesaikan. Pada kemuncak isu terbabit, saya tidak boleh terbang selama dua hingga tiga bulan dan ia mengecewakan.

“Mujur pelanggan saya memahami dan saya berjaya mendapatkan tarikh gantian untuk acara di Australia,” katanya.

Tambahnya, dia mahu melupakan apa yang terjadi selepas ini.

“Saya ada beberapa program kebajikan selepas ini. Saya bercadang untuk tingkatkan kesedaran terhadap golongan wanita yang lebih muda berhubung kes saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS