Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
AR Rahman imbau nostalgia 1990-an di Bukit Jalil
Diterbitkan:  Jul 28, 2024 12:43 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Komposer muzik India, AR Rahman, mengimbau nostalgia kira-kira 35,000 penonton yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi persembahan bertenaga yang menampilkan lagu-lagu popular pada 1990-an.

Konsert Rahman Live in KL 2024 yang bermula pada 8.25 malam itu menampilkan Rahman yang juga seorang penyanyi, pencipta lagu dan penerbit muzik tersohor mendendangkan lagu popular seperti Jai Ho dari filem Slumdog Millionaire.

Dianjurkan oleh Star Planet, konsert malam tadi turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim, serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan.

Semasa konsert itu, Rahman memuji Anwar kerana sikapnya yang mudah didekati dan menyifatkan perdana menteri sebagai “seorang yang simple.”

Konsert yang menampilkan gabungan lagu-lagu Hindi dan Tamil itu dibawakan bersama oleh Thamarai Jewels dan SRM International Real Estate LLC.

Penyanyi Tamil popular, Mano, telah membawakan lagu Mukkala Mukkabla dari filem Kadhalan serta beberapa lagu lain gubahan Rahman untuk filem Thiruda Thiruda dan Muthu.

Penyanyi Srinivas dan Swetha Mohan pula mendendangkan beberapa lagu popular dari filem Padayyappa.

Rahman turut mengetengahkan projek kumpulan metanya iaitu Secret Mountain yang menggabungkan muzik, animasi dan penceritaan interaktif secara maya.

Dia memulakan kerjaya dalam industri perfileman India pada 1992 dan diraikan sebagai antara pemuzik paling berpengaruh di negara itu serta memenangi dua anugerah Akademi untuk karyanya pada tahun 2009 menerusi filem Slumdog Millionaire.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS