Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Filem 'panas' di platform penstriman cabaran baru buat Finas

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) komited terhadap usaha memastikan filem tempatan ke pawagam kena dengan selera penonton, ekoran persaingan sengit daripada platform penstriman atau “over-the-top” (OTT) yang semakin popular.

Pengerusinya Datuk Kamil Othman berkata peningkatan jumlah penonton di platform digital, khususnya melibatkan filem-filem baharu, agak membimbangkan kerana menjejaskan kehadiran di pawagam.

“Semakin ramai tidak ke pawagam sebab penstriman dalam talian seperti Netflix sekarang dah jadi OTT, sekali gus menjadi pawagam alternatif di rumah. Lebih-lebih lagi platform sedemikian menawarkan banyak judul yang boleh dipilih dan ditonton pada bila-bila masa.

“Kalau zaman dulu, tayangan filem di televisyen pun terhad pada satu-satu masa sahaja. Kalau pukul 3 petang, hanya 3 petang sahaja, tetapi dengan penstriman dalam talian ini, dah ubah cara orang menonton, menjadikan pilihan lebih luas,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata antara fungsi utama Finas ialah menggalakkan penonton ke pawagam.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengeluar filem agar mengkaji selera penonton terlebih dahulu, merentasi pelbagai peringkat usia, agar strategi pemasaran dapat dirancang dengan teliti.

Mengambil contoh kejayaan filem Thailand, “How to Make Millions before Grandma Dies”, beliau berkata karya itu bukan sahaja menerima sambutan hangat di negara asal tetapi juga Malaysia dan Indonesia.

“Kalau nak buat filem, kita memang kena tengok genre yang boleh dijual. Sudah pasti syarikat penstriman digital juga akan membeli cerita itu untuk dimasukkan ke platform mereka.

“Sasarannya, apabila sudah masuk ke platform penstriman digital, orang dari satu Asia Tenggara pun boleh tonton, dan dengan cara itu filem kita juga boleh dikembangkan,” katanya, menambah tayangan di pawagam semata-mata akan mengehadkan keuntungan yang diraih.

Dari sudut lain, Kamil berkata ada cabaran yang perlu didepani oleh industri perfileman negara, khususnya melibatkan tapisan, kerana aspek itu tidak terpakai kepada penstriman OTT.

“Kebanyakan pembuat filem nak keluarkan cerita 'panas’, dan mereka tahu Lembaga Penapis Filem tidak akan lepas untuk siaran di pawagam. Jadi, mereka akan buat filem khusus untuk siaran di platform dalam talian.

“Ini menjadi cabaran kita (Finas), bila rakyat Malaysia sudah terbiasa tengok kandungan yang tidak perlu lalui sekatan seperti berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender di platform digital, terutamanya pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan, ramai yang berpindah ke platform itu,” katanya.

Senada, Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia Datuk Afdlin Shauki berkata bagaimanapun faktor penapisan bukan penghalang bagi pengeluar filem menghasilkan karya berkualiti.

“Contohnya Iran. Tapisan mereka sangat berat, tetapi filem masih hebat dan tarik perhatian orang luar. Justeru, ada tapisan tidak bermakna kerja kita (juga jadi) tidak bagus.

“Cuma akan wujud isu pilih kasih kerana penstriman digital membenarkan adegan yang dilarang di pawagam, disiarkan di platform itu,” tambah beliau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS