Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Buli siber: Shuk dedah pernah jumpa pakar psikiatri
Diterbitkan:  Jul 26, 2024 8:20 PM
Dikemaskini: 12:20 PM

Pelawak Shuk Sahar mendedahkan penangan buli siber sewaktu dihambat kontroversi rumah tangga suatu ketika dulu sehingga mengakibatkan dia berdepan masalah kesihatan mental dan perlu mendapatkan khidmat rawatan pakar psikiatri.

Shuk berkata, kemelut dengan bekas isterinya itu bukan saja mengundang kecaman bahkan dia turut menerima ugutan yang melampau.

“Pada ketika itu saya mengaku memang salah. Namun betapa hebat penulisan orang sampai ke tahap ugut bunuh.

“Ada yang berkata kalau mereka terjumpa saya nak pukul, malah mereka menyalahkan saya kerana sayalah mereka dikritik isteri.

“Banyak sangat komen sampai satu ketika saya rasa ya Allah, teruknya,” katanya.

Shuk tidak menolak kejadian yang menimpanya sekitar tahun 2021 itu menjadi punca dia berdepan kebimbangan melampau atau anxiety.

Selepas didiagnos, katanya, doktor memberitahu salah satu punca kepada isu tekanan dihidapi itu adalah trauma.

“Saya mulai kesan masalah sewaktu bercuti di Seoul, Korea Selatan. Ketika cuaca sejuk saya berpeluh-peluh, jantung berdegup kencang serta tapak tangan jadi kebas.

“Itu serangan pertama. Dah rasa seperti kena serangan jantung. Kali kedua berlaku sewaktu memandu,” katanya lagi.

Shuk berkongsi detik hitam itu dalam episod kedua program Dol’s Podcast malam tadi.

Menerusi rakaman episod tersebut, Shuk, 38, bersama Shuib dan Fizie membincangkan isu buli siber yang kini semakin membimbangkan.

Shuk dan Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Sera, berkahwin pada 2015 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya. Pasangan itu kemudian rasmi bercerai pada 22 Mac tahun lalu.

Pelawak berkenaan kemudian berkahwin dengan wanita yang dikaitkan sebagai orang ketiga dalam rumah tangganya, iaitu Fara Salleh pada November tahun sama.

Bagaimanapun, Shuk berkata dia bersyukur kerana masalah yang berlaku tidak sesekali menyebabkan dia jatuh ke fasa lebih teruk.

Malah menurutnya, dia juga tidak menyangka boleh mengatasi isu terbabit hingga kini.

“Mujur saya kuat dan boleh buat tidak tahu. Tapi ada orang lain mungkin tidak sekuat saya.

“Saya tetap teruskan live di TikTok kerana kata-kata orang tidak menyebabkan duit saya kurang tapi kalau tidak buat live saya tiada duit,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS