Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Harith Iskander, Jezamine bercerai talak satu
Diterbitkan:  Jul 25, 2024 2:28 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Pelawak dan pelakon Harith Iskander Musa dan isterinya Dr Jezamine Lim hari ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pasangan itu melayari bahtera perkahwinan selama 14 tahun.

Peguam Syarie Akberdin Abdul Kader yang mewakili Jezamine selaku plaintif berkata hakim syarie Siti Noraini Mohd Ali mengesahkan perceraian itu pada prosiding yang berlangsung secara tertutup.

“Hakim syarie mengesahkan lafaz cerai dan mahkamah benarkan suami (Harith Iskander) melafazkan cerai talak satu itu pada jam 12.05 tengah hari.

"Selain itu permohonan nafkah anak juga telah diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

Pada 8 Julai lalu Jezamine, 41, memfailkan permohonan cerai terhadap Harith Iskander, 58, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 atas alasan mereka sudah tiada persefahaman.

Akberdin berkata berhubung isu hadanah (hak penjagaan anak), mahkamah syariah telah menetapkan 31 Julai ini untuk pengurusan kes.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir, Harith Iskander yang ditemani Jezamine berkata, mereka masih berkawan baik demi anak-anak.

“Sememangnya saya sedih (perceraian) tetapi secara peribadi kami berdua bersetuju dengan perceraian ini dan akan move forward... bukan untuk diri kami sendiri, tetapi untuk anak-anak.

“Selepas ini kami akan meneruskan pekerjaan seperti biasa kerana mempunyai beberapa syarikat bersama,” kata pengacara televisyen yang pernah memenangi pertandingan The Funniest Person in the World di Finland pada Disember 2016.

Pasangan itu yang berkahwin pada 12 Jun 2010 dan dikurniakan tiga anak iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11 dan Zydane Zayne, 9.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS