Michael Ang dituntut membayar semula RM500,000 kepada Armani Entertainment Sdn Bhd selepas penerbit dan pengarah itu didakwa gagal menunaikan perjanjian yang dimeterai tiga tahun lalu.
CEO Armani Entertainment, KK Chua mendakwa antara isi kandungan dalam dua kontrak tersebut adalah jaminan Michael untuk memasukkan artis di bawah syarikat itu dalam dua program realiti televisyen popular.
Katanya lagi, isi kandungan lain adalah agar artis di bawah pengurusan Armani dijadikan pelakon utama dan pelakon pembantu dalam drama terbitan syarikat sutradara terbabit.
“Kami sudah bayar RM250,000 tunai, manakala RM250,000 lagi adalah kos renovasi rumahnya di Desa Park, Kuala Lumpur yang dibayar melalui program Fix It Til You Make It.
“Tapi Michael hanya laksanakan tiga tugas yang terkandung dalam kontrak iaitu memasukkan sebuah runut bunyi, memberi watak pelakon pembantu dan menjadi juri di enam lokasi.
“Perjanjian sudah ditandatangani pada 1 Oktober 2021 namun hingga kini, Michael tidak memenuhi tanggungjawab yang dijanjikannya,” katanya dalam kenyataan.
Peguam KK Chua, Lim Zi Hwei berkata pengurusan kes yang pertama akan diadakan pada 5 Ogos ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Menurut KK Chua, pihaknya juga menghubungi Michael, 48, selepas kontrak pertama gagal dipenuhi dan dia kemudian menandatangani perjanjian kedua pada 2 September 2022.
“Disebabkan dia tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dalam kontrak pertama, kami minta dia pulangkan semula wang tapi Michael enggan berbuat demikian.
“Kami beri peluang kedua, namun pengarah itu masih gagal laksanakan tanggungjawab yang dijanjikan seperti termaktub dalam kontrak.
“Selepas ambil kira pelbagai faktor, pihak kami akhirnya memfailkan saman kepada Michael. Saya berharap pengalaman malang yang menimpa pihak Armani Entertainment boleh dijadikan peringatan untuk orang di luar sana supaya lebih berhati-hati,” katanya lagi.