Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Buta bukan penghalang Iqbal Mazlan jadi pengarah

Berdepan masalah penglihatan tidak menghalang pelakon, Iqbal Mazlan, menyahut cabaran untuk mengarah 100 episod drama pendek bersiri yang pertama di Malaysia.

Kata Iqbal, dia menyedari keadaan dirinya akan merumitkan tugas melangsaikan tanggungjawab penggambaran tersebut, justeru dia memilih untuk bergandingan dengan rakan baiknya, Aida Othman.

“Aida akan jadi 'mata' saya sewaktu penggambaran. Aida akan mengarah mengikut hasil perbincangan.

“Saya akui, proses itu boleh menjadi rumit tapi selagi ada usaha dan cara, saya yakin semuanya dapat disempurnakan dengan baik,” katanya.

Menurut Iqbal, 35, idea projek drama pendek dihasilkan untuk MXB International, Just Work Entertainment dan Art Ornament Sdn Bhd itu sebenarnya sudah lama terperap.

Bagaimanapun, katanya, dia berpendapat sekarang adalah masa yang sesuai membuat kemunculan semula dan mengarah.

“Sejak 2021 saya rancang nak buat comeback sekali gus nak mengarah juga. Apabila sudah lama tidak berlakon, idea banyak yang muncul. Jadi, ini cara saya nak lepaskan tekanan.

“Setakat ini kami masih mencari pelakon dan ada 10 judul drama pendek, dengan setiap tajuk mempunyai 100 episod,” katanya pada majlis pelancaran projek tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kecewa orang tak percaya buta

Drama bersiri dengan durasi dua minit setiap episod itu akan disiarkan melalui laman sesawang justwork.asia dan boleh ditonton di seluruh dunia.

Mengenai tahap kesihatan matanya, Iqbal berkata, dia memang memasang harapan tinggi untuk kembali sembuh meskipun sudah bergelar orang kelainan upaya (OKU).

Katanya, dia sedang mempertimbangkan untuk menyuntik ubat ke biji matanya yang dijangkiti kuman itu.

Katanya dalam pertemuan dengan dokor pakar, Dr Muhaya Muhamad, baru-baru dia menerima dua berita buruk mengenai tahap kesihatan matanya.

Berkongsi lanjut, menurut Iqbal, setakat ini matanya hanya dapat menangkap cahaya terang seperti dalam keadaan silau, dan tiga warna saja - merah, hijau dan hitam - dapat dikesan.

Pun begitu, katanya, masih ada segelintir pihak menuduh dia pura-pura buta disebabkan matanya asyik meliar atau kelihatan seperti boleh melihat.

“Setakat ini, kalau saya pandang ke atas boleh nampak terang (disebabkan lampu), tapi kalau menunduk ke bawah, memang gelap saja.

"Memang ada orang yang menyangka saya cuma buat-buat buta sebab mata asyik meliar. Ada yang tanya: betul ke buta?

"Saya bukan dilahirkan dengan masalah pancaindera mata. Sebab itu mata saya meliar kerana telinga saya sangat sensitif.

“Saya boleh tangkap kedudukan seseorang melalui suara mereka dan secara automatik mata saya akan beralih kepada kedudukan suara tersebut,” katanya.

Menurut Iqbal, tidak selamanya dia boleh menjelaskan kepada semua orang mengenai keadaan itu, justeru, terpaksa membiarkan mereka terus berprasangka.

Mungkin hanya dengan cara itu, katanya, orang yang berprasangka akhirnya akan boleh meyakini dia benar-benar tidak dapat melihat.

“Nak jelaskan secara terperinci pun mereka bukan kenal saya. Mungkin tidak ambil peduli pun.

"Apa saya boleh buat adalah buat-buat ‘buta’ pada persepsi orang walaupun memang diakui saya kecewa dengan sikap begitu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS