Pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura, berpendapat ada keperluan untuk dia mengehadkan perkongsian kehidupan peribadi terutama kemesraan bersama suaminya, Fattah Amin, bagi menghormati situasi di Palestin ketika ini.
Kenyataan dibuat Nur Fazura itu sekali gus menamatkan cakap-cakap belakang berhubung rumah tangga mereka yang didakwa sedang berdepan kemelut sejak beberapa bulan lalu.
“Sebenarnya saya pun tidak tahu dari mana hujung pangkal cerita ini bermula. Saya dan Fattah OK saja.
“Sampai ada antara kawan-kawan saya mula mesej untuk tanya sama ada hubungan saya dengan Fattah OK atau tidak.
“Sejujurnya saya memang terkesan dengan penderitaan Palestin, jadi bagi saya amat tidak sesuai untuk kami paparkan kebahagian bersama, malah untuk kongsikan perkembangan anak pun saya fikir panjang,” katanya.
Menurut Nur Fazura, 40, bukan setakat itu saja malah keadaan tersebut turut disumbang oleh kekangan jadual harian menyebabkan mereka sukar berjumpa pada waktu bersesuaian walaupun tinggal sebumbung.
“Kami sebenarnya masing-masing sibuk. Fattah juga sibuk dengan urusan penggambaran, dia biasanya keluar pagi dan pulang waktu malam,” katanya selepas majlis pelancaran Koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Koleksi itu diluncurkan untuk memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-67.
Sebelum ini, hubungan Nur Fazura dan Fattah didakwa sedang bergolak apabila kedua-duanya sudah tidak meninggalkan komen atau tanda suka pada perkongsian di media sosial.
Nur Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada Nov 2017. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak, Nur Fatima Aisya, 4.
Mengulas lanjut, aktres terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-27 itu berkata, jika ada yang ingin mengikuti perkembangannya dan Fattah dengan lebih dekat, mereka boleh berbuat demikian melalui satu akaun media sosial yang lain.
Katanya, dari situ, mereka lebih terbuka untuk berkongsi foto mereka sekeluarga.
“Saya ada satu lagi akaun media sosial, sesiapa yang sudah mengikuti boleh lihat foto kami kongsikan,” katanya.