Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bertahun-tahun berlalu, Aishah tetap tuntut janji dari penaja

Walaupun hampir tujuh tahun berlalu, Aishah Ariffin masih tidak berputus asa untuk menuntut tanah lot banglo yang pernah dijanjikan penaja kepadanya sebagai habuan menjuarai Gegar Vaganza 4 (GV4).

Menurut penyanyi Janji Manismu itu, hingga ke hari ini dia masih belum menerima sebarang jawapan diinginkan bagi haknya itu walaupun selepas cuba menghubungi individu terbabit beberapa minggu lalu.

“Ya, saya akan tetap teruskan usaha sebab kita dah sampai ke tahap ini. Terlalu banyak usaha dilakukan, jadi saya tidak akan lepaskan begitu saja.

“Diharap juga apa yang berlaku kepada saya boleh dijadikan contoh kepada penaja lain agar jangan mudah menabur janji kalau tidak boleh ditepati,” katanya yang dijanjikan hadiah tersebut pada 2017.

Menurut Aishah lagi dia sebenarnya sudah banyak bertimbang rasa terhadap penaja terbabit termasuk menawarkan pelan pembayaran bagi melangsaikan hutang mereka.

Namun, dakwanya, peluang yang diberikan tidak dihargai malah usaha untuk menjejaki dan menyita barang di kediaman penaja terbabit pada tahun lalu juga gagal.

Setuju tawaran penyelesaian

Kata Aishah, 59, apa yang berlaku menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali membawa kes tersebut ke mahkamah.

“Sewaktu kami pergi ke rumahnya, didapati kediaman itu hanyalah rumah sewa saja, bahkan barang-barang di dalam kediaman itu juga adalah yang sedia ada.

“Semasa kami sampai, dia dan anak dia pun tiada. Sekarang kami perlu berbalik kepada perintah mahkamah.

“Dulu dia pernah tulis surat melalui peguamnya untuk memohon pelan pembayaran pada setiap 25 hari bulan, beria-ia dia kata nak bayar, tapi begitulah… saya tertunggu-tunggu juga sampai sekarang,” katanya.

Pada 31 Okt tahun lalu, Aishah hadir ke kediaman penaja terbabit bersama peguamnya, pihak berkuasa berserta pihak yang ingin membeli lelongan rumah berkenaan.

Tindakan itu diambil selepas individu terbabit gagal menyelesaikan pembayaran seperti dijanjikan dan pihak Aishah juga sudah menghantar writ penyitaan.

Namun, penyanyi itu terus berputih mata selepas penaja, isteri dan anaknya telah mengosongkan rumah sewaan mereka.

Isu timbul selepas penaja tidak memenuhi apa dijanjikan sebaliknya mahu memberi sebidang tanah yang saiznya lebih kecil daripada lot banglo tersebut.

Kes tuntutan tersebut pada awal selesai di mahkamah pada Sept 2022 apabila si penaja bersetuju dengan tawaran penyelesaian iaitu membayar jumlah asal harga tanah yang dijanjikan iaitu RM300,000.

Untuk rekod, selain tanah lot banglo, Aishah juga pernah menyaman Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berhubung berlian yang sepatutnya menjadi hadiah iringan selepas menjuarai GV4.

Mengenai dakwaan dia tidak bertimbang rasa kerana masih memburu impiannya walaupun selepas penaja terbabit dikatakan diserang angin ahmar, Aishah berkata, dia hanya memperjuangkan haknya.

“Saya tuntut hak saya sebelum dia jatuh sakit. Jangan cari alasan. Itu adalah haters, biasalah, mereka tidak suka apa saja kita buat. Undang-undang berpihak kepada saya, jadi saya mahu tuntut hak saya.

"Orang lain nak kata apa, ia bukan masalah saya.

“Kamu ada masalah dengan apa yang saya perjuangkan, ia patut milik saya. Jadi, kamulah yang bermasalah. Hal ini babitkan wang ratus ribu ringgit bukan RM10 atau RM20 nak suruh saya lepaskan.

“Sama juga dengan barang kemas, saya minta apa sudah dijanjikan dan saya dah buat kerja. Ini bukan keputusan popular, tapi ia perkara betul untuk dilakukan, kalau tidak artis akan asyik kena buli.

“Pekerja lain ada Socso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) untuk perjuangkan hak mereka, habis itu, artis ada apa? Tapi semua orang tidak faham dan tuduh saya tamak pula,” katanya yang turut dikenali dengan lagu Pulanglah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS