Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jaja pegang pesan umi untuk jaga nama baik arwah bapa

Hampir lapan tahun bergelumang dalam sepak terajang industri, pelakon Jaja Iliyes tidak lupa pesanan dititipkan ibunya agar sering menjaga nama keluarga dan maruah diri.

Kata Jaja, walaupun sudah 27 tahun dia ketiadaan bapa apabila lelaki terbabit meningal dunia, namun dia masih berasa selalu ‘dekat’ di sisi arwah hingga kini.

“Keluarga tak menghalang saya sertai dunia hiburan, tapi umi (ibu) mahu saya terus jaga nama abah walaupun dia telah lama tinggalkan kami semua.

“Sebagai anak, saya perlu sentiasa jaga nama baik bapa yang dulunya seorang arkitek dan mempunyai imej baik,” kata finalis Drama Festival Kuala Lumpur 2016 itu.

Mengulas mengenai kariernya, Jaja atau nama penuhnya Siti Hajar Iliyes berkata, dia menyedari kedudukannya tidak segah pelakon lain kerana lebih mengutamakan kerjaya seni berbanding populariti.

Justeru, menurut graduan Diploma Teater dan Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu langsung tidak berasa kecewa kerana tidak dikenali ramai.

“Pasti orang akan kaitkan dunia seni dengan populariti dan glamor. Cuma, secara peribadi, saya lihat bidang ini sebagai sumber rezeki yang sudah tertulis.

“Jadi saya tidak lihat populariti sebagai satu keperluan. Asalkan pihak produksi, pengarah dan penonton suka hasil kerja saya, itu memadai,” katanya mengimpikan untuk membawa pulang trofi suatu hari nanti.

Jaja berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Dajal di Wisma Metrowealth International Group di Petaling Jaya baru-baru ini.

Berkongsi mengenai pembabitan dalam filem arahan Pierre Andre itu, Jaja berkata, dia membawa watak wanita misteri bernama Maisarah - karakter gelap - yang akan menjadi pencetus segala-galanya.

“Babak saya tidak banyak tapi abang Pierre Andre sudah beri gambaran apa yang dimahukannya.

“Saya begitu teruja berlakon di bawah abang Pierre, sebelum ini hanya berpeluang menonton filem lakonannya saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS