Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Buli siber: Nadia Brian pernah rasa dilabel ahli neraka

Dilabel sebagai ahli neraka oleh pengguna media sosial adalah antara kecaman paling melampau pernah membelenggu Nadia Brian ketika pelakon itu melalui proses cerai tiga tahun lalu.

Kata Nadia, gara-gara sering menjadi mangsa buli siber, dia juga pernah mendapat masalah kebimbangan melampau (anxiety disorder).

“Ada yang label saya ahli neraka sewaktu kes cerai saya sibuk diperkatakan. Tidak perlu beritahu pun. Cakap kasar sebenarnya boleh menyentuh emosi seseorang. Akibatnya, saya kena anxiety,” katanya.

Enggan membiarkan masalah kesihatannya memburuk, Nadia, 33 memilih untuk tidak membiarkan dirinya terus dibayangi komen-komen negatif, justeru dia mengambil pendekatan berhenti membaca komen di media sosial.

“Kita (mangsa) tidak boleh terus lawan kerana dunia siber itu luas. Apa yang boleh kita lakukan adalah merawat hati dan perasaan sendiri dulu,” katanya pada majlis pelancaran Kireina Wellness Centre di Shah Alam baru-baru ini.

Nadia berkata demikian ketika diminta mengulas kes pempengaruh TikTok, A Rajeswary atau Esha, yang ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa buli siber 5 Julai lalu.

Pada 8 Julai, polis mengesahkan menerima laporan daripada Esha, 30, berhubung buli siber, sehari sebelum wanita itu dilaporkan meninggal dunia.

Enggan suntik untuk cantik

Nadia yang juga pelakon drama Titian Takdir itu berkata dia berharap mangsa buli bijak menggunakan kemudahan sedia ada untuk menyekat kegiatan individu tidak bertanggungjawab.

“Kepada pelaku, hentikan. Anda tidak akan dapat apa-apa kebaikan dengan membuli. Jangan ikut emosi.

"Saya juga tumpang simpati pada keluarga mangsa. Kepada mereka yang jadi mangsa, kuatkan semangat. Kalau perlu sekat, sekat saja kerana orang akan sentiasa cakap buruk pada kita.

"Paling penting, jika diri ada kekurangan, perbaiki,” katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya di pusat rawatan terbabit, Nadia berkata, sebagai artis dia perlu sentiasa mengekalkan penjagaan kesihatan kulit wajah kerana mereka banyak berdepan khalayak.

Walaupun tidak menghakimi golongan wanita yang sering melakukan prosedur mengubah wajah untuk kelihatan cantik, Nadia menjelaskan dia selesa memilih kaedah rawatan lebih natural yang disediakan.

“Saya jaga kecantikan sejak usia 16 tahun, kebetulan ibu saya seorang pakar kecantikan dan saya pernah ambil jurusan kecantikan. Jadi, saya amalkan penjagaan kulit dengan betul.

“Saya juga kerap membuat rawatan wajah di spa kecantikan. Mereka yang suka 'buat wajah' itu terpulang pada masing-masing, saya suka rawatan yang tidak ada suntikan atau menyakitkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS