Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bekas isteri Hafidz Roshdi tarik balik kes pukul
Diterbitkan:  Jul 12, 2024 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri menarik balik kes pukul yang difailkan terhadap bekas suaminya, 6 Julai lalu.

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu kemudian menetapkan 2 Ogos ini untuk mendengar semula laporan penarikan kes selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan merujuk Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai majistret menetapkan tarikh itu selepas mempertimbangkan permintaan pendakwaan untuk mendapatkan tempoh lanjutan selama dua minggu bagi mendapatkan kenyataan tambahan daripada Nurul Shuhada berhubung penarikan kes.

Bagaimanapun, Nurul Shuhada tidak hadir perbicaraan hari ini kerana dipercayai kurang sihat.

Peguam yang mewakili Hafidz, Akberdin Abdul Kader berkata pihaknya sudah meneliti laporan penarikan yang menyatakan ia dilakukan secara sukarela dan tanpa sebarang paksaan.

“Jadi, oleh kerana prosedur pendakwaan perlu pastikan kandungan laporan, mereka akan ambil kenyataan tambahan daripada pengadu. Disebabkan itu perlukan sedikit masa.

“Hakim bersetuju dan bagi tempoh dua minggu. Ini peringkat daerah, jadi akan rujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, mereka akan teliti laporan dan arahkan pegawai penyiasat ambil percakapan untuk lihat ada tak apa-apa bentuk ugutan.

“Jika sudah berpuas hati mereka akan tarik balik,” katanya seperti dipetik BH Online.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kirinya sebanyak tiga kali hingga luka, lebam dan bengkak.

Hafidz dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di Selangor pada pukul 3.22 pagi 2 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, serta dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Pasangan itu bercerai pada 27 Julai tahun lalu selepas melalui proses mahkamah.

Selama tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Humairah, 7, dan Umar, 4.

Hafidz yang juga finalis program pencarian bakat Hero Remaja Edisi 2011/2012 kemudian berkahwin dengan cinta pertamanya, Athira Yuhada di Shah Alam pada 15 Disember lalu.

Pada masa sama Akberdin memaklumkan Hafidz dan Nurul Shuhada juga sudah menyelesaikan kes tersebut secara baik.

Dia berkata laporan dibuat Nurul Shuhada juga berdasarkan penyelesaian dicapai dan dibuat secara sukarela.

“Tiada provokasi atau ugutan, mereka sudah selesai semua isu rumah tangga secara baik. Semuanya sudah selesai.

“Kami juga sudah dapat laporan daripada peguamnya. Pada 2 Ogos ini, pihak pendakwaan akan maklumkan kepada mahkamah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS