Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amirah Razak hampir beli pengikut media sosial

Pelakon sedang mencipta nama, Amirah Razak mengakui namanya pernah ditolak syarikat produksi gara-gara mempunyai jumlah pengikut media sosial yang sedikit.

Justeru, katanya, dia hampir membeli pengikut di media sosial demi meyakinkan pengarah dan penerbit lain agar mengambilnya berlakon.

Bagaimanapun, menurut Amirah, selepas memikirkan hal itu berulang-kali, dia nekad tidak meneruskan niatnya kerana enggan menipu diri sendiri.

“Kalau difikirkan semula, akan nampak pelik kalau saya buat begitu. Ia ibarat tipu diri sendiri. Kalau nak beli, saya patut beli dari awal (sebaik bertapak dalam industri),” katanya.

Pelakon itu berkata, dia yakin rezeki tetap berpihak kepadanya walaupun jika dia mengambil pendekatan membiarkan namanya naik perlahan-lahan.

“Kalau ada rezeki, insya-Allah. Paling penting adalah usaha,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Lubuk di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya malam tadi.

Karya bergenre psikologi thriller itu berkisahkan mengenai rumah perlindungan yang memberi tempat tinggal kepada semua lapisan masyarakat, tetapi dua penyewa mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan tempat itu.

Selain Amirah, barisan pelakon turut menjayakan Lubuk adalah Tony Eusoff, June Lojong dan Chew Kin Wah.

Lubuk bakal menjengah pawagam pada 18 Julai ini.

Ditanya sama ada dia kecewa apabila namanya dipandang sepi segelintir pihak atau tidak, Amirah berkata, pada awalnya memang wujud perasaan itu.

Namun, aktres itu sedia maklum kebanyakan produksi memerlukan seseorang pelakon yang boleh meningkatkan hasil promosi karya terbitan mereka.

“Memang saya akui pengikut media sosial saya sedikit. Saya juga pernah bertanya kepada pengarah Lubuk, Mark Lee See Teck, adakah dia benar-benar yakin untuk mengambil saya berlakon.

“Isu jumlah pengikut sedikit ini timbul tahun lalu. Ada sebuah syarikat menyatakan nama saya tidak terpilih kerana jumlah pengikut media sosial tidak menepati sasaran mereka.

“Sudah tentu pada awal saya kecewa. Tapi, lepas fikir semula, saya juga akan melakukan perkara sama sekiranya berada di tempat mereka.

“Jadi, kalau itu adalah penyelesaiannya, tidak mengapa. Kalau yakin dengan kebolehan sendiri, kita tidak akan anggap isu populariti ini sebagai persaingan,” katanya.

Menurutnya, dia juga sentiasa berpegang kepada nasihat seorang pelakon senior agar sentiasa membina kepercayaan diri sekiranya mahu kekal lama dalam bidang berkenaan.

“Katanya: jika selepas ini nama meledak, jadi pelakon yang baik dan jangan timbulkan masalah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS