Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cheah Liek Hou sempat keberatan kisah hidup difilemkan

Bukan mudah sebenarnya untuk Adrian Teh meyakinkan Cheah Liek Hou untuk mengubah pendirian serta membenarkan dia mengabadikan kisah hidup jaguh badminton para negara itu dalam filem.

Jika bukan alasan ingin menyuntik semangat cintakan sukan, mungkin Liek Hou terus keberatan untuk memberi kepercayaan kepada pengarah filem pecah panggung Paskal The Movie dan Malbatt: Misi Bakara itu merakamkan pergelutan hidupnya.

“Apabila menang emas di Tokyo, Jepun, Adrian ada datang menemui saya. Tapi pada awal memang saya memang tidak setuju perjalanan hidup saya diangkat jadi filem.

“Sebabnya, saya tidak percaya kepayahan saya sejak kecil untuk jadi jaguh badminton boleh membawa motivasi kepada generasi muda.

“Tapi selepas difikirkan semula beberapa hari kemudian, barulah saya beri persetujuan untuk kongsikan kisah saya kepada umum,” katanya.

Justeru, Liek Hou, 36, berharap segala usaha ditaburkannya untuk menggenggam emas pertama pada temasya julung kali diangkat di sukan paralimpik itu boleh menjadi inspirasi buat mereka yang mahu mencuba nasib dalam bidang sukan.

Katanya, seseorang yang berdepan sesuatu rintangan harus percaya tiada apa yang mustahil untuk diatasi.

“Jadi, saya harap kisah saya ini dapat beri inspirasi kepada remaja dan semua masyarakat yang pernah merasai kesusahan dalam menempuhi dugaan,” katanya.

Liek Hou berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam filem itu, pelakon Jack Tan memegang watak Liek Hou manakala Farid Kamil membawa karakter sebagai jurulatih, iaitu Rashid Sidek.

Filem itu akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula hari ini.

Untuk rekod, pemain badminton itu juga telah memenangi lapan gelaran dunia.

Melalui filem diinspirasi daripada kisah Liek Hou itu, Adrian memaparkan realiti kehidupan atlet kebangsaan terutamanya dari segi pendapatan mereka yang masih rendah khususnya pemain paralimpik.

Naskhah itu memaparkan bagaimana Liek Hou pada awalnya bergelut menyara keluarga dengan melakukan beberapa pekerjaan selain daripada sukan dan bagaimana dia nekad dengan keputusan untuk kembali bermain badminton.

Semuanya berubah selepas sukan itu dipertandingkan buat pertama kali di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Mengimbas perkara yang menjentik emosi dalam Gold, Liek Hou berkongsi tiga perkara yang membuat hatinya sebak.

“Hati saya sebak sebaik menonton babak memaparkan saat pemergian bapa sewaktu perlawanan di Thailand, ibu saya dimasukkan ke hospital, dan kegembiraan tidak terhingga selepas menang emas di Tokyo serta apabila meraikan kemenangan itu bersama Rashid,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Liek Hou bakal berentap di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos hingga 9 September depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS