Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dulu Shuk pinjam sampai RM10,000, sekarang tidak lagi

Pelawak dan bekas penyampai radio, Shuk Sahar bersyukur dia kini ibarat mendapat peluang kedua untuk meneruskan kelangsungan hidup keluarganya tanpa perlu menagih simpati atau meminjam wang daripada sesiapa.

Menurutnya, akibat kontroversi rumah tangga bersama bekas isteri sebelum ini, kehidupannya sebagai seorang suami dan ayah, serta anak kepada ibu bapanya terjejas.

“Alhamdulillah kehidupan sekarang sudah kembali stabil. Allah beri satu lagi peluang untuk jadi suami, ayah dan terus berbakti sebagai seorang anak.

“Sekarang saya juga mampu jalani kehidupan normal walaupun tidak seselesa dulu.

“Paling penting, saya tidak perlu pinjam duit kawan atau tagih simpati sewaktu bersiaran langsung demi dapatkan hadiah,” katanya.

Mengulas lanjut fasa kejatuhannya, Shuk, 38, berkata tempias kontroversi itu menyebabkan dia beranggapan dirinya diharamkan daripada muncul di mana-mana stesen televisyen dan radio.

Susulan itu, kata Shuk lagi, dia juga mengalami masalah kewangan hingga terpaksa menebalkan muka untuk meminjam daripada kenalan terdekat.

Dia berkata, ketika itu antara rakan selebriti yang banyak menghulurkan bantuan kewangan adalah Shuib, Nabil Ahmad dan Ebby Yus, dan dia tidak akan melupakan jasa baik mereka.

“Satu hari ada penggambaran, Nabil hubungi saya dan tanya: ‘Kenapa tak ada?' Saya jawab memang dah tak ada. Petang itu dia terus masukkan duit kepada saya.

“Abang Ebby Yus pun sama. Dia hubungi dan tanya keadaan saya okay ke tidak, lepas itu dia cakap bagi nombor akaun pada pembantunya.

“Tapi kalau yang saya betul-betul pinjam duit adalah daripada Shuib. Sampai satu tahap, saya sendiri berhenti pinjam duit daripada dia, sebab saya dah pinjam sampai RM10,000,” katanya lagi.

Shuk berkata demikian ketika ditemui di sesi pelancaran Dol's Podcast yang dikendalikan bersama Shuib dan Fizie di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya semalam.

Sebelum ini, rumah tangga Shuk bersama Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Rossa Sera menjadi perhatian slepas wanita itu mendedahkan kecurangan bekas suaminya.

Perkahwinan yang dibina sejak 2015 kemudian berakhir dengan penceraian pada 22 Mac 2023.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifatu Aimi, 5 tahun.

Shuk kembali bergelar suami kepada Fara Salleh pada November tahun lalu.

Disoal jika Shuk nekad untuk tidak mengulangi kesilapan sama, pelawak itu berkata dia enggan menabur janji namun pada masa sama menyifatkan pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk memperbaiki hubungan dengan Allah.

Anggota kumpulan Balas itu berkata, sebelum ini dia hanya mengutamakan kemewahan, misalnya keinginan untuk mempunyai rumah besar dan kereta mewah.

“Saya tidak mahu cakap pasal benda ini nanti orang kata saya poyo. Tapi ini lahir dari hati.

“Selalunya apabila kita hilang kerja, kita akan fikir 'matilah aku tidak ada kerja'. Kemudian kita cuba minta tolong kawan untuk pinjam duit.

“Tapi pernah tak kita terfikir, 'eh aku dah lima hari tidak solat', apabila jumpa kawan, kita cakap, 'eh pinjam solat kau dua hari'.

“Tapi saya tidak berterima kasih pada yang sepatutnya. Jadi bila diberi lagi kesempatan itu, saya mahu terus perbaiki hubungan (dengan Tuhan),” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS