Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
KOMENTAR | Berlaku adilkah kita pada Mansor Puteh?

ULASAN | Pada pertengahan tahun lalu saya menerima pesanan daripada Mansor Puteh melalui WhatsApp: "Adik aku ada manuskrip pengalaman dia belajar di India nak terbit buku. Dia nak orang baca kali terakhir, kau boleh baca tak? Ada 75,000 perkataan. Berapa lama siap baca dan berapa kena bayar?"

Kami mula berbalas pesanan WhatsApp mengenai hasrat adiknya yang bernama Rasol mahu menulis pengalaman sebagai kelasi kapal. Saya sarankan agar buku setebal 140 muka surat itu diterbitkan sendiri saja.

Kata Mansor, adiknya itu sedang berusaha untuk mendapatkan tajaan daripada syarikat perkapalan negara, MISC Group.

Cadang saya lagi, sekiranya Rasol dapat memohon dana daripada Perpustakaan Negara Malaysia atau Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, itu adalah lebih baik dan tidak perlulah dia mengeluarkan modal besar untuk menerbitkan buku tersebut.

Apatah lagi bukan kaleng-kaleng seorang kelasi kapal yang menimba ilmu di India mahu menulis buku. Namun Mansor membalas: "Adik aku tak tahu caranya."

Sedih apabila memikirkan pada usianya 70 tahun pun Mansor masih terkait dengan isu-isu dana dan terkais-kais mencari sumber pembiayaan untuk filem keduanya, Malaysia Snow.

Filem pertama arahannya, Seman, diterbitkan pada 1986. Bayangkan selepas lebih tiga dekad ternyata begitu sukar untuk penggiat seni seperti Mansor menagih dana untuk mengarahkan filem.

Hairannya ada pemain filem baru yang tiba-tiba muncul entah dari ceruk mana begitu mudah pula memperoleh dana dan geran dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Dianggap paling bodoh

Memang tidak mudah untuk Mansor menambat hati produser filem tempatan, bahkan ia mungkin bersifat mustahil, kerana status sosok itu dikenali sebagai pengkritik kontroversi.

Tentulah tidak ada orang berjawatan dan bergelar yang senang dengan Mansor.

Mansor sudah dilabel sebagai individu anti-establishment oleh produser serta Finas sejak era 1980-an lagi.

Saya sempat membuat liputan pertemuan karyawan filem dan Finas pada Januari 1988 dan melihat bagaimana Mansor dikecam kalangan penggiat filem kerana kelantangannya.

Malah Mansor dilabel sebagai generasi muda lulusan luar negara yang berkomplot kononnya untuk cuba merendahkan martabat filem Melayu.

Terkait sama dalam 'komplot' Mansor itu ialah Anuar Nor Arai, Nasir Jani dan Pyanhabib.

Pada majlis itu AR Badul menyatakan rasa berangnya dan menyifatkan Mansor sebagai duri dalam daging,

"Dia mengkritik filem saya dari dulu lagi. Saya tidak tahu apabila dia mengkritik, dia terlalu membandingkan filem kita dengan filem di Amerika ataupun di Eropah.

"Saya kira jikalau dia duduk di Amerika, dia adalah manusia paling bodoh sekali," katanya.

Mansor bangun semula dalam majlis itu dan meminta agar AR Badul jangan cepat panik atau emosional meluahkan perasaan. Hal itu kerana, kata Mansor, dia mengkritik tanpa menyebut nama pengarah sesuatu filem.

Jins Shamsudin pula kesal pada sikap pengkritik muda yang dianggapnya suka mencari kelemahan dalam sesebuah filem. Lebih membuat Jins terguris, katanya, ada golongan meminta karyawan asal Jalan Ampas seperti dia berhenti daripada membuat filem.

Kritik dengan jiwa

Tidak terkecuali menyatakan rasa tidak senang dengan komen Mansor ialah produser Sabah Filem, Deddy M Borhan, yang membidas Mansor kerana dianggapnya tidak habis-habis menyuarakan rasa tidak puas hatinya sedangkan pertemuan dengan Finas pada petang itu ialah untuk mencari magic formula bagi industri perfileman tanah air.

Suasana tegang itu timbul selepas Mansor melahirkan keraguannya sama ada Pesta Filem Malaysia Ke-7 dijalankan secara jujur atau tidak, dan kemungkinan ada juri yang dilantik tidak mempunyai berkelayakan dalam bidang perfileman.

"Juri-juri yang baik seharusnya mempunyai kelayakan akademik di samping mengetahui elemen perfileman secara lebih detail," kata Mansor.

Majlis itu dipengerusikan Setiausaha Kementeriaan Penerangan, Mohd Nor Ghani, dan ia turut dihadiri Pengerusi Finas, A Samad Idris, serta dan ketua pengarahnya, Zain Hamzah.

Dalam usia muda tatkala itu, Mansor bukan saja berani mengkritik Finas serta pengarah veteran, malah dia adalah antara watak - selain Ahmad Mahmud dan Anuar Nor - yang paling lantang mengkritik P Ramlee.

Pada 31 Mei lalu hantaran media sosial Mansor membidas:  "Orang tahu banyak baiknya filem P Ramlee. Kalau tanya apa yang tak baik tentang filemnya, tak ramai tahu sebab mereka bukan pakar."

Hantaran Mansor itu dikecam netizen hinggakan ada wartawan veteran mencabar Mansor menghasilkan filem sehebat buah tangan Seniman Agung itu.

Apa jua cercaan dilemparkan kepada Mansor, hakikatnya dia mengkritik filem dengan jiwa dan bersandarkan ilmu yang ada. Mansor berbeza daripada segelintir pengkritik yang dibela produser.

Sama halnya dengan sesetengah pempengaruh sekarang yang mengkritik sesebuah filem mengikut selera semata-mata.

Mansor bermula dengan kritikan drama televisyen sejak dia bekerja sebagai pemberita di Utusan Malaysia pada 1977 hingga 1978.

Pojok Ulasan Drama TV setiap Khamis dalam akhbar itu terpaksa diberhentikan apabila Mansor menyambung pelajaran dalam bidang perfileman di peringkat ijazah sarjana seni halus di Columbia University, New York.

Koleksi kritikan filem Mansor dibukukan pada 1995 dengan tajuk Kritikan Filem Mansor bin Puteh.

Hati siapa lebih putih

Saya beruntung dihadiahkan buku itu ketika Mansor menemui saya yang sedang berkursus di Akademi Penulis di Lorong Kuda, Jalan Ampang, pada 1996.

Sejumlah 33 filem dikritik Mansor dalam buku itu.

Yang menarik perhatian saya ialah filem Esok Masih Ada yang disesah oleh Mansor apabila dia menganggap pengarahnya, Jins Shamsuddin, tidak kreatif kerana masih menjaja judul "Esok" dan seolah-olah sudah tiada harapan buat filem tempatan jika filem sebegitu dijadikan rujukan.

Kritikan Mansor terhadap filem Esok Masih Ada itu ada logiknya. Misalnya apabila dia mempersoalkan watak inspektor polis yang mempunyai dua isteri, memiliki kereta mewah dan menghadiahkan banglo untuk isterinya.

Pada pengakhir cerita pula, nampak begitu sukar inspektor terbabit mahu menyelamatkan anaknya di atas bukit hingga terpaksa menggunakan helikopter, sedangkan budak itu mendaki bukit berkenaan dengan mudah saja.

Filem-filem dikritik Mansor ketika itu adalah hasil buah tangan nama besar seperti Jamil Sulong, Othman Hafsham, Wim Umboh, Aziz Jaafar,  Aziz Sattar, Raja Ismail Saat, Z Lokman, Rahim Razali, Nasir Jani, Hussein Abu Hassan, Patrick Yeoh dan Sylvester Stallone.

Saya tidak dapat bayangkan jika Mansor masih terus mengkritik filem selepas era 2000, tidak mustahil filem-filem arahan A Razak Mohaideen, Afdlin Shauki dan keluaran David Teo pun akan dilondehkannya.

Masalah orang kita ialah ego. Tidak semua orang mampu rasional apabila menerima kritikan.

Dan Mansor - yang cuba membawa pendekatan serta pemikiran baru dalam perusahaan filem nasional - dilabel sebagai barah industri filem.

Biarpun dikutuk dan payah mendapat dana, Mansor selalu ada dan menyertai sebarang majlis diskusi, seminar, forum berkaitan filem.

Pedulilah sama ada ia dianjurkan oleh Finas atau pihak lain, kelibat Mansor pasti ada dalam majlis berkenaan.

Okt tahun lalu Mansor menghantar mesej melalui WhatsApp saya untuk mengundang ke sesi tayangan filem Seman di Finas. Oleh kerana ada hal keluarga, saya tidak dapat menghadirinya.

Dalam usia kian lanjut sepatutnya sesi tayangan itu adalah untuk filem ke-10 atau ke-20 Mansor, bukan lagi masih Seman.

Apakah industri kita - dan Finas terutamanya - berlaku adil kepada Mansor?

Yang pasti penggiat filem yang memperlekehkan Mansor harus malu kerana dalam kepayahan mencari dana, Mansor sempat menderma darah sebanyak 631 kali, sekali gus mencatat sejarah Pusat Darah Negara sebagai penderma terbanyak.

Khidmat bakti dilakukan Mansor itu tidak mungkin dapat dilakukan penggiat industri filem kita, dan natijahnya siapakah lebih putih (bersih) hati mereka dalam memahami erti insaniah tanpa mengharapkan ganjaran.


ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima Bhd.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS