Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Babak ranjang dalam Abang Adik untuk tontonan 'terhad'

Pelakon Jack Tan menegaskan aksi ranjang dalam filem Abang Adik hanyalah merupakan versi director’s cut dan ditayangkan untuk tontonan umum di negara ini melalui Netflix.

Bahkan, katanya, Netflix juga sudah menetapkan klasifikasi tontonan filem itu kepada 18 tahun ke atas.

“Saya ada terbaca komen netizen yang mereka terkejut menonton babak tersebut. Pihak Netflix sudah menyatakan filem berkenaan mengandungi babak seks dan bogel.

“Malahan, apa yang ditayangkan di Netflix itu adalah director’s cut serta untuk tayangan antarabangsa,” katanya.

Menurut Jack, sebagai pelakon apa yang dilakukannya itu adalah demi mengikut tuntutan skrip yang diarahkan pengarah.

Justeru, katanya, dalam situasi itu, ia dipercayai bertujuan mencantikkan lagi naratif yang ingin disampaikan kepada penonton.

“Sebagai pelakon, saya hanya berlakon dalam banyak versi yang mahu dibuat oleh pengarah.

"Saya juga tidak ada kuasa untuk tentukan babak mana akan ditayang atau tidak,” katanya selepas majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Gold di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem mendapat sentuhan pengarah Adrian Teh - yang terkenal dengan filem pecah panggung seperti Malbat: Misi Bakara dan Paskal The Movie - itu berkisahkan penat lelah jaguh paralimpik Negara, Cheah Liek Hou dalam menempatkan namanya sebagai atlet kebangsaan.

Karya itu menceritakan bagaimana Liek Hou yang didiagnos mempunyai masalah Erb’s Palsy muncul pemenang pingat emas dalam sejarah Sukan Paralimpik apabila ia dipertandingkan buat julung kali di temasya itu di Tokyo, Jepun, 2020.

Selain Jack, filem turut dijayakan pelakon seperti Farid Kamil, Yasmin Hani, Wan Raja dan Lynn Lim bakal menjengah pawam 11 Julai ini.

Filem Abang Adik arahan Jin Ong itu diiktiraf dengan beberapa anugerah antaranya pelakon lelaki terbaik melalui pelakon utamanya yang terkenal dari Taiwan, Wu Kang Ren, pada Anugerah Golden Horse Ke-60, di Taipei.

Ditanya mengenai karya Abang Adik yang mendapat banyak pengiktirafan itu, Jack berkata, walaupun karya itu terus mencipta nama, dirinya masih seperti dulu.

Katanya, hari-hari yang dilalui tetap sama iaitu perlu bekerja keras serta memberi fokus dalam setiap apa yang diusahakan.

“Saya masih Jack yang sama. Sebagai pelakon saya perlu fokus setiap projek. Tidak kiralah projek itu besar atau tidak, tetap kena fokus,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS