Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Macam Tahun Baru Cina, Noraniza: Sebab Melaka, dik...
Diterbitkan:  Jul 9, 2024 1:36 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Ratu muzik etnik kreatif, Noraniza Idris, mempertahankan konsep poster untuk Konsert Qalam Noraniza Idris yang disamakan seperti mempromosi sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Kata Noraniza, hal berkenaan sepatutnya tidak menjadi isu kerana sememangnya dia mengadaptasi budaya dan tradisi di Melaka sebagai subjek untuk posternya.

“Ada orang bertanya, kak kenapa poster macam Tahun Baru Cina? Sebab Melaka dik...

"Melaka kan terkenal dengan sanggul lintang, tak tahu ke?

“Melaka ada budaya tersendiri, jadi apabila kita masuk Melaka, kita masuk dengan budayanya sekali, bukan konsep Tahun Baru Cina.

“Tangan pula pegang keris bukan macam ini (sambil menunjukkan aksi menggenggam tangan) dan ucap Go Xi Fa Cai,” katanya melalui siaran langsung di TikTok.

Penyanyi berusia 55 tahun yang lebih mesra disapa Kak Ani itu berkata, dia juga mengambil inspirasi masyarakat Baba dan Nyonya atau peranakan di Melaka memandangkan ia membawa pengaruh yang besar di negeri itu.

Katanya, sanggul lintang misalnya dipercayai hiasan kepala berasal daripada masyarakat Baba dan Nyonya yang digunakan bagi wanita untuk meraikan majlis perkahwinan.

Bagaimanapun menurut Noraniza, ia bukanlah alat sanggul lintang sebenar yang digunakan.

“Daripada konsep poster dan segi keterampilan, memang saya guna sanggul lintang, perhiasan kepala wanita dalam perkahwinan, cuma ia bukan sanggul lintang yang sebenar, ia inspirasi saja.

“Di samping itu, saya gayakan dengan kebaya besar berwarna merah serta pegang keris lambang kepahlawanan srikandi Melaka yang kaya dengan kisah pahlawan seperti Tun Fatimah.

“Semua ini saya selitkan dalam poster Konsert Qalam Noraniza Idris dengan latar belakang yang berwarna merah,” katanya.

Noraniza juga menjelaskan, lagu-lagu berasal dari Melaka juga mempunyai kaitan dan pengaruh China.

“Memang nampak Cina sebab Melaka kan ada pengaruh China yang besar.

“Dondang Sayang, Baba dan Nyonya, betul tak pengaruh dari China itu besar?

“Kalau tengok semua elemen-elemen bangunannya, kena faham dan kaji dia punya sejarah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS