Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Filem adalah cerminan masyarakat, justeru, pengarah Gold, Adrian Teh bertindak berani dengan ‘bermain’ isu pendapatan pemain badminton kebangsaan yang masih rendah.

Kata Adrian, sebagai pengkarya, dia perlu memaparkan ketelusannya bagi mengetengahkan kritikan sosial dalam karya sendiri dan secara tidak langsung pembangunan atlet negara dalam jangka panjang.

“Saya cuma ceritakan fakta. Idea ini saya hasilkan selepas buat kajian. Jadi, jika ada orang fikir ini adalah masalah perlu diselesaikan, lakukanlah sesuatu.

“Saya sebagai pembikin filem tidak buat cerita fitnah atau palsu bahkan naskhah ini memang diinspirasikan daripada kisah benar. Karya ini juga boleh dianggap sebagai teguran,” katanya.

Bahkan, katanya, selepas majlis pratonton Gold kelmarin, bekas pemain badminton negara Adelle Ng meluahkan perasaan sebak kepadanya kerana kisah itu memaparkan realiti kesusahan atlet yang mungkin tidak diketahui ramai.

“Saya fikir filem ini juga boleh diibaratkan sebagai suara hati mereka. Tadi (kelmarin) Adelle (jurulatih pelakon Farid Kamil dan Jack Tan dalam filem itu) lepas menonton, dia suarakan dirinya agak beremosi kerana tersentuh dengan filem tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur.

Gold berkisahkan jaguh paralimpik negara, Cheah Liek Hou muncul pemenang pingat emas pertama acara badminton dalam sejarah Sukan Paralimpik.

Liek Hou menewaskan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi di Tokyo, Jepun pada 2020.

Gold memaparkan usaha Liek Hou menempatkan namanya dalam arena sukan nasional walaupun menghidap penyakit saraf yang dikenali sebagai Erb's Palsy.

Nasib baik logo tak ada isu

Filem terbitan Astro Shaw dan Act 2 Pictures dengan kerjasama Clover Films & One Cool Entertainment ditayangkan di pawagam mulai 11 Julai ini.

Ditanya mengenai cabaran untuk menghasilkan filem berkenaan, Adrian berkata, antaranya, dia dimaklumkan mengenai kekangan untuk menggunakan logo sebenar bagi sukan paralimpik selepas filem itu siap dirakam.

Menurutnya, ia disebabkan jawatankuasa Paralimpik bimbang sekiranya logo itu disalah guna untuk tujuan tertentu yang mendatangkan kesan buruk.

“Kalau negara lain mahu hasilkan filem mengenai kisah paralimpik, biasanya mereka akan cipta sebuah logo lain.

“Saya pula pada awal langsung tidak terfikir mengenai isu yang akan timbul kerana mahu mempersembahkan karya yang hampir dengan realiti.

“Mereka meminta kami hantar semua footage sudah siap yang mengandungi logo.

"Saya terbayang, kalaulah tidak mendapat kebenaran, sudah pasti kami perlu keluarkan lebih banyak wang untuk mengaburkan beratus-ratus babak mengandungi logo itu.

“Mujur pihak kami berjaya selesaikan isu itu dan saya tidak perlu berangkat ke Jerman untuk menyelesaikannya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS