Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Gold lahir dari kebosanan Adrian Teh pada mainan isu perkauman

Mengakui lelah dengan mainan isu perkauman yang sering menjadi alat politik, pengarah filem Adrian Teh berharap kerjasama terjalin antara jaguh badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou, dengan Rashid Sidek mampu memupuk perpaduan dalam negara.

Adrian berkata, semuanya bermula daripada aksi Liek Hou menyarungkan pingat emas dimenanginya pada leher Rashid dalam sebuah klip video yang disifatkannya sebagai mewakili semangat sebenar Malaysia.

Menurutnya, klip video itulah yang menjadi pembakar semangat untuk dia menghasilkan filem Gold - sebuah kisah diinspirasikan dari perjalanan hidup jaguh itu sejak kecil.

“Antara sebab saya mahu hasilkan filem ini kerana saya nampak persefahaman antara kaum sebenarnya boleh pergi lebih jauh.

“Saya sendiri penat dengan isu perkauman yang sering berlegar. Jadi cukup-cukuplah isu perkauman.

“Pada saya, isu perkauman tidak timbul dalam kehidupan seharian saya tapi ia sering muncul menjelang pilihan raya saja,” katanya.

Adrian Teh

Justeru, menurut pengarah pecah panggung melalui filem Paskal The Movie dan Malbat Misi Bakara itu, adalah sangat ketinggalan sekiranya segelintir pihak masih memilih untuk memainkan isu perkauman.

Katanya, jalinan kerjasama di antara Liek Hou dan Rashid adalah contoh terbaik bahawa negara mampu meraih kegemilangan di mana-mana sekiranya mengetepikan isu perkauman.

“Jalinan kerjasama antara Leik Hou dan Rashid adalah semangat kesukanan sebenar yang wajar dipertontonkan.

“Adalah sangat out dated (ketinggalan zaman) jika ada pihak masih mengapi-apikan isu perkauman,” katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton Gold bersama media di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur hari ini.

Menang emas tapi tak dikenali

Gold memaparkan usaha Liek Hou menempatkan namanya dalam arena sukan nasional walaupun menghidap penyakit saraf yang dikenali sebagai Erb's Palsy.

Kehilangan ayah sebagai penyokong kuatnya juga membuatkan Liek Hou hilang arah.

Namun, apabila acara Paralimpik mengiktiraf badminton sebagai sukan yang akan dipertandingkan di Tokyo, Liek Hou bangkit semula dengan bantuan jurulatih yang juga pemain legenda Malaysia, Rashid.

Leik Hou kemudian muncul sebagai pemenang pingat emas pertama badminton paralimpik dunia dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Gold terbitan Astro Shaw dan Act 2 Pictures dengan kerjasama Clover Films & One Cool Entertainment ditayangkan di pawagam mulai 11 Julai ini.

Cheah Liek Hou

Filem itu dijayakan pelakon seperti Jack Tan, Lynn Lim dan Farid Kamil.

Adrian berkata, dia memilih untuk mengangkat kisah Leik Hou kerana menyedari perwira negara itu tidak mendapat penghargaan yang sepatutnya.

Katanya, hal itu turut menjadi pencetus dia untuk mengetengahkan kisah hidup Leik Hou ke mata penonton.

“Dia memang seorang perwira tapi kita tahu level populariti dia tidak sama dengan perwira lain sebab dia paralimpik walhal sudah lebih 10 kali memenangi emas untuk Malaysia.

“Orang kurang mengenali dia. Apabila kami bertemu buat kali pertama sebelum penggambaran pada 2021 di sebuah kafe minuman, dia sendiri berkata: saya sudah 11 kali jadi juara dunia tapi tiada siapa kenal saya.

“Ini juga mencetus rasa keinginan kuat untuk hasilkan filem mengenai dia ketika itu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS