Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dokumentari khas dedah pergulatan hidup Celine Dion
Diterbitkan:  Jul 5, 2024 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Dokumentari I Am: Celine Dion mengupas lebih mendalam kisah penyanyi terkenal asal Kanada itu dengan memfokuskan diagnosis penyakit Stiff Person Syndrom (SPS) dihidapinya serta impak terhadap karier dan kehidupan peribadinya.

Dokumentari itu juga mengetengahkan tahap kebergantungan Celine terhadap ubat-ubatan bagi membolehkan dia berfungsi seperti biasa.

Malah detik ibu anak tiga itu mengalami kekejangan akibat SPS di depan kamera turut menambah ketelusan pada kisah dipaparkan.

Pada penghujung 2022, Celine berkongsi kepada dunia yang dia baru didiagnos dengan SPS yang menghalang penyanyi itu mengadakan persembahan sehingga kini.

Naskhah diarahkan Irene Taylor itu pada masa sama mendedahkan beberapa butiran menarik tentang kehidupan Celine sebagai penyanyi. Berikut ialah antara pendedahan tersebut:

8. Celine menyimpan semua fesyen ikoniknya dalam gudang - Walaupun sejak kebelakangan ini dunia selebriti Celine bukan lagi membabitkan karpet merah dan pentas, minatnya terhadap fesyen tetap utuh.

Celine menjemput produksi masuk ke gudang almari pakaian untuk menjelaskan penghargaannya terhadap setiap satu koleksi di dalam gudang tersebut.

“Selepas muncul di depan publik dengan pakaian dengan warna yang menarik, adalah tidak masuk akal untuk memakainya sekali lagi,” katanya.

7. Tanda-tanda pita suara Celine tidak konsisten bermula sejak 17 tahun lalu - Walaupun Celine hanya didiaognos dengan SPS beberapa tahun kebelakangan, penyanyi itu berkongsi yang dia sudah lama mempunyai simptom apabila julat suaranya menjadi terhad dan tidak lagi boleh meneruskan pemanasan vokal seperti dulu.

Sepanjang dokumentari, Celine beberapa kali menjadi beremosi apabila memikirkan tentang suaranya dan bagaimana dia harus menjalani pemulihan.

Keluarga besar Celine

Celine secara khusus menyebut dia merindui detik-detik menghiburkan peminat melalui konsert. Penyanyi itu juga beberapa kali menyatakan betapa pentingnya suara yang bagus kepadanya dengan merujuk ia sebagai panduan hidup.

6. Ibu Celine membawa impak besar dalam kehidupan - I Am: Celine Dion menunjukkan persamaan penyanyi itu dengan ibunya. Ketika membesar, Celine berkata, dia mewarisi bakat daripada ibunya, Thérèse Tanguay-Dion.

Sewaktu kecil, Celine teringat bagaimana keluarganya bergelut dengan isu kewangan namun ibunya tidak pernah memberitahu kesukaran itu kepada 14 orang anaknya.

5. Rantai penyanyi opera terkenal abad ke-20 bawa kekuatan tempuh dugaan - Rantai leher milik Maria Callas itu merupakan hadiah berharga daripada mendiang suami Celine, René Angélil.

Celine berkata, rantai itu ibarat membawa kekuatan buatnya menempuh dugaan ketika ini.

Sama seperti Celine, Maria juga memiliki suara yang hebat. Satu lagi persamaan mereka ialah kedua-duanya berdepan isu kemerosotan vokal.

Celine memang berazam untuk meneruskan perjuangan memulihkan kembali kuasa vokal, namun malangnya karier Maria pudar hingga ke penghujungnya.

4. Celine bergantung pada ubat-ubatan untuk meneruskan kehidupan - Penyanyi itu mengakui kebergantungannya pada pelbagai ubat. Celine selalu berpegang pada ungkapan persembahan mesti diteruskan.

Ada ketika tertentu, Celine terpaksa mengambil kira-kira 80 hingga 90 miligram Valium sehari bersama beberapa ubat lain yang tidak didedahkan.

Ubat itu diperlukan bagi membantu Celine meneruskan kehidupan seperti biasal seperti berjalan dan menelan.

Pengambilan ubat-ubatan tersebut dinaikkan dosnya jika dia mengadakan persembahan.

Katanya, adrelanlin sebelum berada di pentas mengakibatkan kesan ubat itu pudar sekali gus menyebabkan lebih banyak ubat harus diambil.

3. Celine mengalami kekejangan sewaktu penggambaran I Am: Celine Dion - Antara babak paling menyentuh hati ialah sewaktu Celine mengalami kekejangan dan ia berlaku di depan lensa kamera.

Pada waktu itu, pasukan perubatannya dilihat bertungkus-lumus untuk menenangkan Celine. Walaupun pengalaman Celine berdepan SPS terdedah dalam dokumentari berkenaan, keputusan untuk memastikan kamera terus merakam memang masuk akal.

Ia berikutan objektif utama dokumentari itu adalah untuk memaklumkan perjuangan penyanyi itu menghadapi isu kesihatan serta gangguan neurologi yang dihidapinya.

2. Celine ada ‘helah’ di atas pentas untuk menyelamatkan keadaan - Di sepanjang dokumentari tersebut Celine menghargai skil nyanyian yang ada dengan mendakwa ia adalah kekuatan terbesarnya sebagai penyanyi.

Namun, paling menyentuh hati apabila dia mengakui tidak dapat mengelak berdepan masalah menyanyi pada masa-masa tertentu. Justeru, bagi mengelak masalah retakan vokal (vocal crack) atau tekanan pada pita suara dihidu peminat, Celine akan menyuakan mikrofon untuk penonton menyanyi bersama.

1: Celine berazam untuk kembali beraksi - Dokumentari itu sebahagian besarnya memaparkan keadaan semasa Celine. Walaupun penyanyi itu tidak mempunyai sebarang persembahan dalam masa terdekat, kariernya belum berakhir.

Celine menegaskan sepanjang dokumentari bahawa dia tidak akan berputus asa untuk mendapatkan semula keaslian suaranya melalui keseimbangan kesihatan, kerjaya dan waktu berehat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS