Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dharma, anak tak kisah jika duduk di rumah PPR

Keluarga Dharma Harun Al-Rashid tidak akan sesekali menolak sekiranya diberi peluang untuk menetap di rumah baru waima kediaman tersebut berstatus kos rendah seperti projek perumahan rakyat (PPR).

Anak kedua pelakon itu, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, berkata sikap itu dibuat bagi mengelak keluarga mereka berterusan dihimpit beban kewangan terutama akibat kos sewa bulanan rumah yang agak tinggi.

“Kami langsung tidak kisah duduk di PPR. Memang kena ukur baju di badan sendiri. Kami terima keadaan kami orang susah... tak boleh nak berlagak.

“Tak ada salahnya menetap di PPR, malah ramai pelajar di tempat belajar saya, Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) yang menetap di PPR.

“Pun begitu mereka masih boleh cemerlang dalam pelajaran,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Muhammad Al Syafiq, 35, berkata demikian sebagai menjawab isu rancangan mereka sekeluarga susulan berjaya menyelesaikan tunggakan sewa rumah sebanyak RM7,500 sebelum ini.

Katanya, mereka berjaya membayar tunggakan tersebut menggunakan wang sumbangan yang diperolehi daripada Yayasan Akalbudi.

“Kami terima wang sumbangan sebanyak RM9,000 daripada Yayasan Akalbudi. Baki selebihnya kami gunakan antaranya untuk membayar tunggakan elektrik dan air.

“Alhamdulillah, ada juga insan lain yang baik hati namun enggan dikenali namanya turut menderma, sumbangan itu disampaikan oleh Presiden Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez," katanya.

Siang malam ada tugas

Pun begitu, katanya, dia dan keluarga masih perlu berhat-hati merancang kerana ada sewa yang perlu dilunaskan dari semasa ke semasa.

Menceritakan lebih lanjut masalah mereka, Muhammad Al Syafiq berkata, hanya orang susah dapat memahami keperitan hidup sebagai orang susah.

Kelegaan, katanya, hanya hadir apabila hutang yang membelit dapat dilunaskan.

"Apabila dapat selesaikan hutang, rasa macam dapat oksigen untuk bernafas,” katanya.

Sebelum ini Malaysiakini memaparkan kisah sukar Dharma bekerja selepas diserang angin ahmar ringan. Tidak cukup dengan itu, keluarganya menerima notis keluar rumah kerana menanggung tunggakan sewa selama lapan bulan.

Pelakon yang terkenal dengan filem Adik Manja dan Sikit Punya Gila itu juga meluahkan perasaan kerana perlu membiayai dua anaknya yang masih belajar.

Muhammad Al Syafiq berkata, bapanya ada memaklumkan agensi zakat pernah menawarkan mereka kediaman baru sekiranya berminat.

Antara babak signifikan dalam filem Adik Manja

Namun, katanya, dia perlu mengambil kira komitmen belajar yang masih berbaki dua bulan serta kesibukan akibat projek akhir di Aswara sebelum boleh bersedia untuk berpindah.

“Kalau nak berpindah mungkin boleh tapi bukan sekarang sebab sedang waktu final (di Aswara).

“Siang saya ada kuliah, malam pula dari jam 8 hingga 11 malam ada prosa mania iaitu acara membabitkan semua pelajar Asasi Seni Kreatif Aswara.

“Hujung minggu atau jika tiada prosa mania, saya bekerja secara sambilan di kafe,” katanya.

Ditanya mengenai cara dia menambah pendapatan bagi membantu keluarga, Muhammad Al Syafiq berkata, selain bekerja secara sambilan dia juga sedang berjinak-jinak dalam dunia peragaaan.

“Untuk permulaan, saya ditawarkan untuk menjadi model sebuah jenama minyak wangi serta tampil dalam video promosi berkaitan bidang hartanah.

"Selain itu, saya bakal muncul sebagai pelakon dalam sebuah karya terbitan Radius One pada Ogos depan. Insya-Allah, dengan gaji itu nanti, dapatlah saya bantu keluarga, ” katanya.

Mengenai perkembangan Dharma, Muhammad Al Syafiq berkata, dia bersyukur selepas kisah bapanya itu tular, nama pelakon terbabit kembali diingati peminat.

Malah katanya, dia terkejut apabila bapanya ditawarkan untuk berlakon semula baru-baru ini.

“Ketika ayah pergi ke kedai untuk beli cili, ada peminat menyapa dan menderma.

“Ada juga pengarah tawarkan bapa berlakon. Sekarang orang kembali mengingati nama Dharma Harun, ia memang mengejutkan.

“Cuma ayah tidak berapa sihat sekarang, sukar untuknya bekerja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS