Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jais arah masjid, surau di Selangor tangguh undang Don Daniyal
Diterbitkan:  Jun 25, 2024 6:20 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Kontroversi melibatkan Don Daniyal Biyajid nampaknya belum berakhir selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan atau tidak mengundang penceramah itu untuk mengajar agama Islam di premis masing-masing.

Dalam kenyataan hari ini, Jais mengesahkan arahan tersebut dikeluarkan pada 21 Jun lalu.

"Ketetapan ini dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Ustaz Don disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor amat berkenan dan menekankan kepada para pemegang tauliah agar umat Islam di Negeri Selangor dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

"Sehubungan itu, Jais perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di Negeri Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan-pandangan dan pernyataan tentang hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil yang sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam," menurut kenyataan tersebut.

Don Daniyal sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila memberikan jawapan mengelirukan dan membawa kisah yang didakwa tidak diperakui kesahihan dalam agama.

Antaranya, dia mendakwa Rasulullah pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan wanita berkenaan merupakan 'cinta pertama' baginda.

Penceramah itu juga membuat dakwaan meragukan mengenai kelebihan memandang wajah ulama yang didakwa berasal dari hadis palsu dalam rancangan Salam Baitullah di RTM sehingga dia direhatkan terus dari rancangan berkenaan.

Terbaru, dalam slot soal jawab agama Don Give Up di stesen radio Suria FM, Don Daniyal mendakwa seseorang Muslim dibolehkan berpuasa pada hari Tasyrik iaitu hari ke-11, ke-12 dan ke-13 Zulhijah.

Sedangkan keempat-empat mazhab terbesar dalam Islam sepakat mengakui agama mengharamkan hari berkenaan untuk berpuasa.

Kenyataan itu turut mendapat teguran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Na’im Mokhtar.

Bagaimanapun dia kemudian memohon maaf atas kekeliruan tersebut.

Perlu kemuka kenyataan bertulis

Mengulas lanjut, Jais berkata Don Daniyal perlu mengemukakan kenyataan bertulisnya kepada jawatankuasa tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) terhadap beberapa fakta dalam ceramah agamanya.

"Ini agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau" kata Jais.

Tambah Jais, berdasarkan beberapa aduan yang diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan agensi itu, satu kertas siasatan juga dibuka terhadapnya di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

"Jais amat berharap agar semua pihak di Selangor dapat bekerjasama dan akur serta dapat mematuhi arahan untuk tidak mengundang atau membatalkan sesi ceramah atau apa-apa jua bentuk pengajaran agama Islam yang akan dilaksanakan melibatkan dia.

"Ini sehingga Jawatankuasa Tauliah Mais membuat keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar Mais," kata Jais.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS