Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin menerima kecaman aktivis anti-Israel apabila dia dijadual berkongsi pentas dengan penerbit dan komposer terkenal, David Foster menerusi Konsert Eksklusif `Hitman Returns – David Foster and Friends’ di Jakarta, Indonesia, malam ini.
Boycott, Divestment, Sanctions for Malaysia (BDS Malaysia) dalam satu kenyataan berkata penyertaan Siti Nurhaliza itu jelas sangat mengecewakan di saat ribuan rakyat Palestin dibunuh tentera rejim Zionis Israel.
“Persembahan ini dianjurkan oleh pengubah lagu terkenal David Foster yang berasal dari Kanada. Beliau juga adalah seorang yang sangat kuat menyokong rejim Zionis Israel.
“Beliau sering terlibat dalam usaha menyumbang dana kepada tentera rejim Zionis Israel dalam acara yang dianjurkan oleh `Friends of Israel Defence Forces’ (FIDF).
“Dalam keadaan sekarang di mana lebih daripada 36,000 rakyat Palestin telah dibunuh dengan kejam oleh tentera rejim Zionis Israel semenjak 7 Okt 2023 dan masih terus melakukan pembunuhan kejam di Gaza dan Tebing Barat, keputusan Datuk Seri Nurhaliza untuk menyertai persembahan yang dianjurkan oleh David Foster adalah sangat mengecewakan," tegas kumpulan pendesak itu.
Untuk makluman ini bukan penyertaan kali pertama penyanyi nombor satu negara itu berkongsi pentas dengan David Foster.
Siti pernah bergandingan dengan David Foster pada Ogos tahun lalu menerusi Konsert Eksklusif 'Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023' di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, di Kuala Lumpur.
Justeru, BDS Malaysia menggesa semua pihak termasuk artis tempatan menunjukkan sikap yang lebih peka terhadap kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin ketika ini.
"Tindakan paling minima yang boleh dilakukan ialah memboikot rejim Zionis Israel serta organisasi dan individu yang terlibat secara langsung dengan kezaliman yang sedang berlaku di Palestin," kata BDS Malaysia.
Malaysiakini telah menghubungi pihak Siti untuk mendapatkan komen penyanyi tersebut mengenai perkara itu.
Menurut poster di laman Instagram penyanyi itu, Siti dijadualkan membuat persembahan dalam konsert yang akan diadakan di Indonesia Convention Exhibition (ICE) di BSD City, Jakarta.
Konsert itu turut menampilkan Brian McKnight, Jessie J, dan penyanyi pop dan R&B Indonesia Afgan.