Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cokelat Kembali bikin nostalgia 7 Sept
Diterbitkan:  Jun 12, 2024 3:45 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Deretan album dan lagu popular Cokelat berjaya meletakkan band asal Bandung, Indonesia itu sentiasa segar dalam ingatan peminat.

Buktinya, Cokelat yang meledak di Malaysia dengan lagu Karma itu bakal kembali menggegarkan pentas di Kuala Lumpur selepas 14 tahun mereka tidak beraksi di sini.

Justeru, tahun 2024 bakal dipenuhi nostalgia terutama buat peminat muzik rock era 1990-an dengan kembalinya Cokelat ke Malaysia di Zepp Kuala Lumpur pada 7 September depan.

Cokelat, band yang didirikan pada 1996, awalnya dianggotai Kikan, Robert, Ronny, Bernard, dan Deden.

Namun, seiring berjalannya waktu, anggota band itu mengalami banyak perubahan.

Kemudian, Cokelat yang dianggotai Kikan, Edwin, Ernest, Ronny dan Ervin (drummer) mengambil keputusan untuk berpisah selama 12 tahun.

Mereka mengumumkan kembali bersatu pada 2022 melalui persembahan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos tahun itu.

Melalui media sosial, Cokelat memuat naik hantaran video kembalinya Kikan dan Ervin.

Malah, berita itu menjadi khabar gembira buat seluruh peminat Cokelat yang merindukan formasi terbaik band berkenaan.

Kikan berkata, Cokelat berharap Konsert Cokelat Kembali dapat mengubati rindu peminat setia mereka.

“Seperti semua tahu, kali terakhir Cokelat membuat persembahan di Malaysia adalah pada 14 tahun yang lalu.

“Memang sudah cukup lama. Terima kasih kami ucapkan kepada semua peminat di Malaysia

“Kami juga sangat rindukan Malaysia yang sudah kami anggapkan seperti rumah kedua Cokelat,” katanya.

Selain Karma, antara lagu lain Cokelat yang turut popular adalah, Segitiga, Luka Lama, Ku Pilih Dia, Pergi dan Jauh.

Sementara itu, Pengarah Tanjak Global Services selaku penganjur konsert, Rosden Rahmat berkata,

persembahan itu adalah kejutan dan hadiah buat peminat Cokelat.

Katanya, Tanjak Global Services juga ingin menawarkan kepelbagaian dan pilihan konsert hiburan yang berlainan buat rakyat Malaysia, bukan sekadar menjemput artis atau band yang sama pada setiap tahun.

“Ahli kumpulan Cokelat secara peribadi juga sangat rapat dengan Malaysia dan teruja untuk bekerjasama lagi bersama kami di masa akan datang.

“Juga berits baik buat peminat Cokelat, kedua pihak sudah berbincang untuk berkolaborasi dalam beberapa perancangan dan program yang sudah disusun,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS