Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Keluarga Fida Ibrahim antara bergelap di Kg Sungai Baru

Dalam kalangan hampir 40 keluarga yang masih enggan berpindah dari rumah mereka di Kampung Sungai Baru walaupun terpaksa bergelap ketika ini ialah pelakon dan penyanyi, Fida Ibrahim.

Menurut juara program Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007 itu, dia kini terpaksa berpanas serta bergelap bersama suami, Shahzemir Shahzulkarib, dan bayi lelaki mereka yang baru berusia 4 bulan.

Keadaan itu berlaku apabila bekalan elektrik dan air di rumah mereka dipotong pihak yang berkenaan sejak pagi semalam.

Fida adalah antara sekumpulan penduduk yang tidak bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan dalam pewartaan pengambilan tanah kampung tersebut pada Jun tahun lalu.

Fida atau nama sebenar, Rafidah Ibrahim, 38, menggambarkan tindakan pemotongan utiliti yang didakwanya secara drastik itu sebagai sangat kejam dan menzalimi penduduk.

"Apa yang berlaku semalam, pihak TNB (Tenaga Nasional Bhd) datang bawa beberapa trak bersama polis secara besar-besaran untuk memotong bekalan elektrik dan air di sini.

"Tindakan ini sangat kejam dan menzalimi kami semua. Saya dan bayi kami terpaksa berpanas sejak semalam," katanya ketika ditemui selepas sidang media di Dewan KRT Kamping Sungai Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Pagi semalam, 37 keluarga di Kampung Sungai Baru berdepan suasana sukar selepas bekalan air dan elektrik ke rumah mereka dipotong oleh pihak berkuasa.

Langkah itu diambil ketika kemelut pengambilan tanah di kawasan terbabit terus berlajutan di antara penduduk kampung dan pihak pemaju sejak 2016.

Secara keseluruhan ia melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok Pangsapuri Sungai Baru.

Tak bantah pembangunan

Penduduk terbabit enggan berpindah keran menganggap pampasan yang ditawarkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur - RM400 sekaki persegi - tidak berpatutan.

Sehingga kini, sebanyak 37 keluarga rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 keluarga yang lain menerima tawaran yang diberikan.

Antara tuntutan mereka yang enggan berpindah ialah menaikkan jumlah pampasan daripada RM400 kepada antara RM950 hingga RM1,000 sekaki persegi.

Tambah Fida, mereka difahamkan oleh pihak peguam yang mewakili penduduk, tindakan memotong kemudahan air dan elektrik bukanlah arahan daripada pihak mahkamah, sebaliknya atas pertimbangan pemaju.

Bagaimanapun Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan dakwaan Fida itu secara bebas.

Kata Fida, elektrik dan air adalah kegunaan asas dan sangat sukar untuk menjalani hidup tanpa kemudahan tersebut.

Sementara itu, Ibrahim Khalil, 60, meminta agar pihak pemaju dan kerajaan berlaku adil kepada penduduk yang masih tinggal di situ.

Katanya, mereka tidak sempat membuat sebarang persediaan dan terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran setelah bekalan elektrik dan air dipotong.

"Perkara ini dibuat tanpa beri kami (buat) persediaan. Dengan warga emas dan anak kecil, (tindakan) menjadi masalah kepada penduduk.

"Selama ini tidak pernah ada kekecohan antara penduduk dengan pemaju. Takkan perkara (kekecohan) itu tidak wujud, mereka boleh sesuka hati buat kami begini?

"Kami tak bantah pembangunan, tapi berlaku adillah," tambahnya lagi.

Ibrahim Khalil

Seorang lagi penduduk, Amal Ibrahim, 48, menganggap mereka dipinggirkan oleh kerajaan dan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

"Selepas rumah kami diwartakan (notis perintah keluar), kami langsung tidak dilayan oleh pemaju dan PKB.

"Sedih dan kecewa tapi kami tak boleh buat apa-apa. Terpaksa tinggal dalam keadaan bergelap," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS