Chef Wan hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dia mengaitkan gaun dipakai Aishwarya Rai ibarat kavadi Thaipusam mendapat kecaman orang ramai.
Kata cef selebriti itu, memang tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menghina sesiapa atau memburukkan mana-mana agama.
"Bukan niat saya untuk bersikap perkauman atau memburukkan mana-mana agama. Sebagai seorang cef televisyen, saya sentiasa menghormati semua budaya dan agama di seluruh dunia.
"Saya mohon maaf kepada semua kerana memuat naik kenyataan demikian," katanya menerusi hantaran di Instagramnya hari ini.
Menujukan permohonan maaf itu khususnya kepada Aishwarya, Cef Wan berkata, dia malah teruja melihat penampilan pelakon kelas atasan Bollywood yang turut diminatinya itu.
Pemilik nama sebenar Redzuawan Ismail itu menambah, dia hanya berseloroh ketika memberi pandangan sebagai terhadap gaun yang digayakan pelakon terbabit.
"Fikiran saya serta-merta memikirkan material yang digunakan pereka itu sering dilihat semasa perayaan Thaipusam di Batu Caves.
"Sebab ramai pengikut saya juga komen di situ nampak macam bulu burung merak. Saya menganggap burung merak itu cantik.
"Langsung tiada niat untuk menjadi rasis atau menghina mana-mana agama," katanya.
Menurut Chef Wan, niatnya adalah untuk berjenaka sekali gus bersikap jujur namun ia sudah disalah tafsir.
"Sampai polis pun terpaksa siasat kerana ada yang dah buat laporan!
"Saya tidak pasti sama ada hendak ketawa atau menangis. Jujurnya, saya lihat rakyat Malaysia sekarang sangat sensitif," katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari memaklumkan pihaknya menerima satu laporan berhubung kes itu.
Justeru siasatan sudah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa bersifat perkauman.
Chef Wan sebelum ini secara berseloroh menyatakan gaun yang dipakai Aishwarya semasa hadir di Festival Filem Cannes seperti membawa kavadi di upacara Thaipusam di Batu Caves.