Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dituduh ciplak tudung pereka Palestin, kedai minta maaf
Diterbitkan:  May 28, 2024 3:45 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Selepas dikritik ramai kerana didakwa memplagiat tudung jenama Sarah Musa, akhirnya peruncit tudung jenama tempatan Lima Segi menghentikan jualannya serta-merta.

Tindakan itu diambil setelah ramai pihak menyelarnya di media sosial, lebih-lebih lagi kerana Sarah mendermakan 100 peratus hasil jualannya untuk membantu rakyat Palestin.

“Hi semua. Kami sudah menghentikan jualan rekaan kefiyyah dan memohon maaf kepada pemilik, Sarah Musa atas isu ini. Jom sokong rekaan asal kefiyyah Sarah Musa. 

“Kami amat kesal dengan keterlanjuran ini,” kata Lima Segi, yang beralamat di Bayan Lepas, Pulau Pinang, di Instagram Stories. 

Lima Segi bagaimanapun tidak menjelaskan kenapa mereka bertindak demikian.

Terdahulu, perkara itu tular di media sosial apabila Lima Segi didakwa memplagiat produk Sarah, pereka fesyen berketurunan Palestin.

Malah, ia mengundang kemarahan pengguna maya kerana ia dihasilkan bagi membantu rakyat Palestin. 

Seratus peratus daripada jualan tudungnya akan didermakan kepada Persatuan Bulan Sabit Palestin dan Tabung Bantuan Kanak-kanak Palestin.

Tudung sutera bermotifkan poppyseed, bunga kebangsaan Palestin, itu dijual di Malaysia dengan harga RM429 sehelai.

Menurut portal jualan, tudung itu menggunakan kefiyyah Palestin yang selama ini menjadi lambang perjuangan rakyat negara itu menentang Israel.

Terdahulu, Sarah, 40, juga menyuarakan kekesalan atas tindakan itu dan mengecam tindakan Lima Segi. 

“Sebagai pereka dari Palestin, saya terkejut mereka mendakwa menyokong Palestin tetapi mencuri cetakan pereka Palestin,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS