Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

“Kami tidak lagi suami isteri,” demikian ulas pelakon Singapura, Hisyam Hamid mengesahkan spekulasi perkahwinannya yang sebelum ini dikhabarkan sudah ternoktah.

Hisyam membuat pengakuan itu selepas sekian lama mengunci mulut mengenai kedudukan rumah tangga yang dibinanya bersama Mel sejak hampir 20 tahun lalu itu.

Bagaimanapun, pelakon drama Rahsia Hati Perempuan itu lebih selesa tidak berkongsi tarikh sebenar penceraian tersebut berlaku.

Pada masa sama Hisyam, 38, menegaskan dia dan bekas isterinya, Mel, atau Rosmawati Hanafi, mahu mengekalkan hubungan baik antara satu sama lain demi anak-anak mereka.

Tambahnya, dua anak mereka, Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15, kini berada di bawah jagaannya.

“Saya tidak mahu oleh kerana satu detik hitam yang berlaku antara kami hubungan ini termusnah.

“Buat masa ini kami rasa jalan yang terbaik adalah untuk kami tidak lagi menjadi suami isteri.

“Kami hanya mahu fokus mara ke depan. Masing-masing pun sudah membawa haluan sendiri, paling penting kami sama-sama ada tanggungjawab terhadap anak-anak,” katanya.

Hisyam berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, Kuala Lumpur hari ini.

Pada Okt tahun lalu, Hisyam mengunci mulut apabila ditanya mengenai status perkahwinannya yang didakwa sudah lama ternoktah. Dia juga pernah menafikan sudah bercerai.

Kata Hisyam, dia lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak terlalu berkongsi kisah peribadi kepada umum.

Untuk rekod, Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Rosmawati pada 2006.

Menurut pelakon yang mula dikenali melalui drama Ariana Rose itu, Rosmawati juga masih kekal sebagai pengurusnya.

Bagi Hisyam, selama hampir 20 tahun melayari bahtera rumah tangga, tidak semuanya buruk dan negatif.

“Pada akhirnya dia adalah ibu kepada anak-anak saya. Banyak benda positif yang kami lalui.

“Dia melahirkan dua anak saya, itu adalah satu pengorbanan besar. Momen itu saya hargai dan hormat dia,” katanya.

Ditanya mengapa dia sebelum ini enggan mengulas status rumah tangganya, Hisyam menjawab dia tidak mahu berita penceraian mereka menjejaskan emosi anak-anaknya yang masih remaja.

“Sejak dulu, apa saja yang saya buat, saya akan pastikan tidak ada kontroversi yang menjejaskan anak-anak saya, seboleh-bolehnya saya mahu beri contoh terbaik pada mereka.

“Begitu juga apabila hal ini ditanya, saya tidak mahu berita itu memberi kesan kepada mereka atau mereka tahu daripada sumber lain,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS