Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dalang pembunuhan ditangkap lepas Vina: Sebelum 7 Hari ditayang
Diterbitkan:  May 23, 2024 1:57 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Polis menahan seorang daripada sekumpulan individu didakwa merogol serta membunuh pelajar sebuah sekolah di Cirebon, Indonesia, Vina Dewi Arsita, pada 2016.

Menurut polis, Pegi Setiawan, 30, dipercayai menjadi dalang dalam jenayah berkenaan.

Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Barat, Jules Abast, menjelaskan penangkapan Pegi - juga dikenali sebagai Perong - dibuat di Jalan Kopo, Bandung kira-kira jam 6.30 petang semalam (waktu tempatan).

Ketika itu, kata Jules, Pegi dalam perjalanan pulang selepas habis bekerja sebagai buruh binaan di pusat bandar.

Kes kejam itu memasuki babak baru dan meraih perhatian ramai selepas filem berjudul Vina: Sebelum 7 Hari ditayangkan di pawagam tempatan sejak 8 Mei lalu.

Kisah Vina yang ditonton 4.5 juta orang itu turut mendedahkan dakwaan terdapat manipulasi pada fakta kes, selain melibatkan kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di Cirebon.

Filem itu diarahkan Anggy Umbara dan dijayakan pelakon seperti Nayla Denny Purnama yang membawa watak Veni, Delia Husein, Pritt Timothy, Eduwart Manalu, Cinta Dewi dan Septian Dwi Cahyo.

Kes rogol beramai-ramai dan pembunuhan Vina - ketika kejadian baru berusia 16 tahun - di Jambatan Talun, Cirebon berlaku pada 27 Ogos 2016.

Tuntut siasatan maksimum

Selain Vina, penjenayah turut membunuh kekasih remaja terbabit, Muhammad Rizky.

Lapan penjenayah berjaya ditahan dan didakwa di mahkamah. Tujuh daripadanya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup manakala seorang lagi dikenakan hukuman penjara 8 tahun.

Jules berkata, ketika ini pihak berkuasa sedang giat mengesan dua lagi suspek dikenali sebagai, Dani, 28, dan Andi, 31.

“Pegi disyaki sebagai dalang yang merancang kes rogol dan pembunuhan Vina lapan tahun lalu,” katanya yang dipetik Kompas.

Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Polis Daerah Jawa Barat, Surawan, mendedahkan pihak berkuasa menghadapi kesukaran untuk mengesan Pegi yang menyembunyikan diri sejak 2016.

Puncanya, kata Surawan, Pegi sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan menggunakan identiti palsu.

“Selama ini dia bergerak antara Cirebon dan Bandung. Selain itu, Pegi juga menggunakan nama samaran sebagai Robi,” katanya.

Tambah Surawan, polis masih menyiasat kes berkenaan.

Ketua Badan Pemerkasaan Wanita, Perlindungan Anak dan Perancang Keluarga Jawa Barat, Siska Gerfianti, pula berharap pihak berwajib dapat membongkar sepenuhnya pelaku jenayah berkenaan demi menegakkan keadilan.

“Diharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara optimum supaya dapat mengenal pasti dan menangkap pelaku yang masih bebas,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS