Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
81 karya terhasil di program lukis langsung 3LM Melaka
Diterbitkan:  May 23, 2024 9:40 AM
Dikemaskini: 1:40 AM

Antara aktiviti yang sering dilakukan oleh Angkatan Pelukis Semalaysia (APS) sejak penubuhannya pada 1956 ialah acara lukis langsung atau disebut sebagai plein air.

Untuk aktiviti sebegitu pelukis akan memilih lokasi yang dianggap sesuai lalu cuba sedaya upaya merakam suasana berkenaan di atas kertas atau kanvas.

Cabarannya adalah untuk menyelesaikan tugasan berkenaan sebelum cuaca setempat berubah.

Kerja-kerja begitu memang biasa dilakukan oleh pelukis terkenal seperti  Vincent van Gogh, John Constable serta ‘bapa’ kepada semua pelukis plein air iaitu Claude Monet.

Karya-karya bersiri Monet yang diberi judul Water Lilies menjadi buruan peminat seni catan.

Sesuatu yang hanya boleh kita gambarkan kehebatannya adalah apabila pelukis pemula APS seperti Hoessein Enas, Idris Salam, Yusof Nordin, Habibah Baharuddin, Tamby Abdullah Long dan ramai lain keluar ke lapangan untuk berkarya.

Setelah tidak aktif selama beberapa tahun,  generasi baru APS memulakan kembali aktiviti plein air sekitar 2015. Pengurusan baru kini mengambil inisiatif tersebut bagi mengembalikan semangat berkarya dalam kalangan ahli mereka.

Hasilnya APS sekali lagi dilihat sebagai satu kuasa segar dalam penghasilan karya di lapangan.

Pelajar diiringi pensyarah

Amiruddin Ariffin yang mengambil alih kepimpinan daripada pengerusi sebelumnya, Hassan Mohd Ghazali, mengadakan sesi plein air yang hanya terkhusus kepada para ahlinya saja.

Baru-baru ini, sebagai tanda pelepasan jawatan sebagai pengerusi bagi sesi 2021-2023, Zaim Durulaman mengusahakan satu lagi aktiviti plein air untuk APS.

Jawatan pengerusi APS kini dipegang oleh A Zaki Hadri.

Yang menariknya, kali ini penyertaan dibuka untuk semua yang berminat. Sambutan yang diterima APS pula amat memberangsangkan.

Lebih 60 orang pelukis dari seluruh negara menyahut cabaran tersebut di samping penyertaan dari Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan UiTM Melaka.

Pelajar dari sekolah yang berhampiran juga turut serta dalam acara yang julung-julung kali diadakan di Kampung Solok Air Batu, Masjid Tanah, Melaka.

Para pelajar turut diiringi pensyarah dan juga guru mereka.

Program Lakar Lukis Langsung Masjid Tanah (3LM) di Melaka anjuran APS itu turut mendapat sokongan Balai Seni Negara di bawah Tabung Bantuan Seni (TBS).

Kurator Balai Seni Negara, Syahrul Niza Zaini, menjelaskan bahawa TBS terbuka kepada semua seniman yang menjadi ahli Kelab Sahabat Balai Seni. Tabung itu juga dibuka untuk persatuan dan juga galeri.

Permohonan, menurut Syahrul Niza, hendaklah dalam bentuk kertas kerja dan dihantar langsung kepada Ketua Pengarah Balai Seni Negara.

Dia juga menggalakkan seniman untuk lebih peka dan mengambil kisah akan pentingnya pemohon dana dari tabung tersebut untuk membekalkan dokumen yang secukupnya.

Ini adalah untuk memudahkan pihak kurator memberi sokongan kepada sebarang permohonan.

Jadi hab kesenian

Program 3LM yang dibuat di Melaka itu juga mendapat kerjasama penduduk setempat dan penduduk Kampung Pulau Semut.

Selain pemandangan yang menarik, kampung-kampung tersebut juga dihiasi dengan rumah-rumah tradisional Melaka.

Menurut kurator Balai Seni Negara, Zaslan Zeeha Zainee, aset yang ada di kampung-kampung berkenaan sangat bersesuaian dengan misi agensi berkenaan menjadikan ia satu lagi destinasi pelancongan untuk Melaka.

Balai Seni Negara, kata Zaslan, sedia memasukkan kampung-kampung berkenaan dalam indeks pemetaan kawasan-kawasan yang mempunyai tarikan seni kepada pelancong dalam dan luar negara.

Menurutnya lagi, memang menjadi keutamaan Balai Seni Negara untuk meluaskan lagi skop perbincangan mengenai seni setempat tanpa perlu berharap hanya dengan apa yang ada di Kuala Lumpur.

Balai Seni Negara juga sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat menjadikan sesebuah kampung atau bandar mereka sebagai hab kesenian.

Seniman-seniman yang menyertai acara tersebut menyatakan rasa besar hati masing-masing apabila karya yang mereka mendapat sambutan yang baik daripada penduduk tempatan.

Mereka juga menzahirkan harapan agar acara seperti itu diadakan selalu bagi memupuk minat dan kesedaran orang ramai akan pentingnya mempertahankan keindahan alam yang ada.

Pelukis Munif Mohd Nor menyarankan untuk program akan datang, seniman yang mengambil terlebih dulu menyelami hasrat serta permasalahan setempat.

Hal itu, menurut Munif, akan menjadikan karya mereka lebih manusiawi. Jika tidak, menurut dia lagi, pelukis sekadar merakam alam dan benda tanpa ada rasa yang lebih insani.

Sedikit kesopanan sebenarnya dapat membuka jalan yang sangat luas kepada para seniman.

Salah satu kegusaran yang jelas di kedua-dua kampung berkenaan ialah bagaimana generasi muda tidak lagi mahu mewarisi rumah-rumah tradisional.

Mereka lebih senang merobohkan tinggalan nenek moyang untuk membina rumah-rumah yang tidak mempunyai sebarang identiti.

Sebanyak 81 karya dihasilkan sepanjang dua hari program 3LM dijalankan, dan kesemuanya akan dipamerkan di Muzium Negeri Melaka pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS