Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amal Clooney saran ICC keluar waran tangkap Netanyahu, Ismail Haniyeh
Diterbitkan:  May 21, 2024 4:15 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Isteri George Clooney, Amal, merupakan antara pakar undang-undang yang mengesyorkan Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu; dan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.

Peguam hak asasi manusia itu menulis mengenai cadangan tersebut semalam dan ia dimuat naik di laman sesawang Clooney Foundation for Justice - pertubuhan yang diasaskan pasangan terbabit.

Amal berkata, dia dan pakar undang-undang jenayah antarabangsa yang lain sebulat suara bersetuju menghubungi Ketua Pendakwa Raya ICC, Karim Khan, untuk mengesyorkan waran tangkap dikeluarkan ke atas Netanyahu dan Ismail.

“Saya berkhidmat di panel ini kerana saya percaya kepada kedaulatan undang-undang dan keperluan untuk melindungi kehidupan orang awam,” kata Amal yang dipetik CNN.

Tambahnya undang-undang bagi melindungi orang awam dalam peperangan telah digubal sejak lebih 100 tahun lalu dan ia terpakai di setiap negara di dunia tanpa mengira punca konflik.

Karim yang mengumumkan hasratnya untuk berbuat demikian semalam menyatakan bahawa tindakan yang diambil oleh kedua-dua pemimpin Israel dan Hamas dalam perang tujuh bulan di Gaza disifatkan sebagai jenayah perang.

Amal, 46, juga menulis bahawa keputusan dicapai sebulat suara. Malah panel terbabit menulis pandangan rasmi mengenai saranan berkenaan kepada akhbar Financial Times semalam.

Panel tiga hakim di ICC akan memutuskan sama ada akan mengeluarkan waran tangkap dan membenarkan kes diteruskan atau sebaliknya.

Hakim biasanya mengambil masa dua bulan untuk membuat keputusan sedemikian.

Dalam pengumumannya semalam, Karim menuduh Netanyahu, Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant dan tiga pemimpin Hamas iaitu Yehia Sinwar, Mohammed Deif dan Ismail melakukan jenayah perang serta kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan Israel.

Netanyahu dan pemimpin Israel yang lain mengutuk tindakan itu sebagai memalukan dan antisemitik.

Presiden AS, Joe Biden, pula mengecam pendakwa raya dan menyokong hak Israel kononnya untuk mempertahankan diri terhadap Hamas.

Untuk rekod Israel bukan anggota ICC, justeru walaupun waran tangkap dikeluarkan, Netanyahu dan Yoav tidak akan menghadapi sebarang risiko segera untuk didakwa.

Bagaimanapun ancaman penangkapan boleh menyukarkan pemimpin Israel terbabit untuk ke luar negara.

Sejak Oktober tahun lalu, tentera Israel membunuh lebih 34,000 warga Palestin dan mencederakan lebih 77,000 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS