Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Puspal ambil kira laporan polis sebelum batal permit Sharul Channa
Diterbitkan:  May 21, 2024 2:56 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Pembatalan permit persembahan pelawak terkenal, Sharul Channa, di negara ini dibuat setelah mengambil kira laporan polis berkaitan sebuah video lamanya yang dikatakan menyentuh isu bangsa, agama dan institusi raja (3R).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata unit Permohonan Penggambaran Filem Asing Dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) menerima makluman daripada Polis Diraja Malaysia bahawa terdapat sejumlah laporan diterima terkait video lama pelawak dari Singapura itu yang dimuat naik semula baru-baru ini.

“Saya difahamkan, kerana video yang dimuat naik untuk mempromosikan persembahan berkenaan dimuat naik baru-baru ini, dan akibat video yang dimuat naik itulah sejumlah laporan polis dibuat dan laporan polis itu dikatakan ia ada berkait isu 3R.

“Itu mungkin video lama, tapi laporan polis itu berkait isu 3R. Jadi Puspal mendapat maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan senario tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri malam gala dan sidang media Memoir Seorang Guru, di Kuala Lumpur malam tadi.

Sebelum ini, Sharul menerusi hantaran video di Facebook meluahkan kekecewaan apabila permit untuk persembahan komedinya, Just Joking, di Petaling Jaya Live Arts Centre dibatalkan Puspal dua hari sebelum acara itu berlangsung.

Fahmi berkata, tindakan diambil Puspal itu juga merupakan satu peringatan kepada artis dalam dan luar negara agar tidak sama sekali menyentuh isu 3R yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Di Malaysia kalau kita sentuh isu 3R maka pihak berkuasa akan bertindak dan itu peringatan yang saya berikan sama ada kepada pengguna media sosial, kepada artis.

"Jadi isu ini adalah dalam bidang kuasa siasatan polis,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS