Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
MP PJ bimbang persembahan pelawak S'pura dibatal
Diterbitkan:  May 19, 2024 4:49 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung bimbang dengan pembatalan pertunjukan pelawak komedi berdiri dari Singapura, Sharul Channa.

Katanya, pembatalan itu dapat menjadi contoh tidak baik bahawa sebarang persembahan seni boleh dibatalkan pada bila-bila masa sebelum pertunjukan jika laporan polis dibuat terhadapnya.

"Ini juga bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan ekonomi serta menjadikan Malaysia atau Lembah Klang sebagai pusat seni dan hiburan," kata ahli parlimen PKR itu.

"Di kala PN menggunakan taktik ketakutan untuk mengehadkan ruang bagi pertukaran budaya dan agama, kerajaan perpaduan sepatutnya berdiri teguh untuk melindungi latar belakang kemajmukan budaya dan keterbukaan yang menjadikan Malaysia seperti hari ini.

"Rasional akan menang jika ia datang dengan rasa lucu."

Kenyataan ini dibuat selepas persembahan Sharul yang dijadual berlangsung malam tadi dibatalkan selepas laporan polis dibuat terhadap salah satu video lamanya yang didakwa menyentuh isu 3R (bangsa, agama, raja).

Sharul berkata visanya telah diluluskan sebelum persembahan namun Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) dan polis membatalkannya pada saat akhir setelah aduan dibuat.

Ini walaupun Sharul telah memberi jaminan bahawa persembahannya tidak akan menyentuh isu 3R.

Dia dijadualkan untuk membuat persembahan pertunjukan komedi berdiri "Just Joking" di PJ Live Arts Centre malam tadi, bersama dengan pelawak tempatan seperti Mad Sabah, Rizal van Geyzel, Shamaine Othman, dan Hindra Bose.

Pertunjukan itu dianjurkan oleh Laugh Labs Entertainment Sdn Bhd dan ketua eksekutifnya Phoon Chi Ho dipetik Scoop berkata laporan polis tersebut berkaitan persembahan Sharul pada 2018, yang kembali tersebar di media sosial.

"Halal certified comedian"

Video yang menjadi sorotan itu ialah cuplikan dri “Comedy Central: Stand Up Asia! 2” yang direkodkan di Malaysia pada 2018.

Pada video bertajuk "Halal certified comedian" Sharul bercakap tentang pihak berkuasa menghantar "content police" (polis kandungan) untuk memantau rutinnya bagi memastikan dia tidak bercakap tentang alkohol atau anjing.

Dia juga menyebut melihat logo halal pada bungkusan tisu di sebuah restoran dan bergurau tentang bagaimana dia diberi sijil halal selepas menyelesaikan rutinnya, kerana dia tidak bercakap tentang apa-apa yang menyinggung perasaan.

"Saya seorang pelawak yang disahkan halal, tuan-tuan dan puan-puan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS