Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Blockout2024: Rezeki dah diatur Allah, kata Scha Alyahya
Diterbitkan:  May 14, 2024 1:47 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Meskipun namanya tersenarai dalam Blockout2024, pelakon Scha Alyahya memohon orang ramai tidak serta-merta menanam kebencian serta menyebar permusuhan hanya kerana berbeza pendapat.

Menegaskan dirinya meraikan sebarang pandangan, Scha berkata, setiap tawaran pekerjaan yang muncul untuk dirinya pasti atas keizinan Allah SWT.

Justeru menurut isteri pengacara terkenal Awal Ashaari itu, tiada siapa yang wajar menidakkan perkara yang sudah termaktub.

“Setiap seorang daripada kita sudah ditetapkan rezekinya oleh Allah. Baik saya, keluarga saya atau anda semua.

“Apa pun pekerjaan yang kita buat, itu jugalah rezeki yang sudah diaturkan. Tapi siapa kita untuk menidakkan ketentuan Allah?

“Siapa kita untuk menjatuhkan hukum pada kehidupan dan rezeki seseorang?” katanya di Instagram Stories.

Kempen Blockout2024 yang bergerak secara global menyasarkan selebriti terkemuka serta pempengaruh yang dilihat tidak sensitif, menyokong Israel atau berdiam diri atas kekejaman rejim Zionis ke atas Gaza.

Idea kempen bermula 6 Mei lalu selepas acara Met Gala di New York, AS itu adalah untuk menggalakkan pengguna alam maya menyekat rangkaian media sosial selebriti terkenal melalui Instagram, X dan TikTok.

Antara selebriti Hollywood tersenarai dalam Blockout2024 itu adalah Justin Bieber, Kim Kardashian, Rihanna, Billie Eilish dan Miley Cyrus.

Selepas kempen itu menular di Malaysia, pelakon Nadhir Nasar tampil memohon maaf dan berkata dia tidak dapat menamatkan kontrak ditandatangani tahun lalu bagi mengelak berdepan tindakan undang-undang.

Scha pula muncul dengan kenyataan itu dipercayai bagi mempertahankan dirinya susulan dakwaan mempromosi jenama mewah antarabangsa yang menyokong Israel.

Selain Nadhir dan Scha, beberapa selebriti tempatan turut tersenarai dalam Blockout2024 iaitu Neelofa, Mierul Aiman, Michelle Yeoh, Mira Filzah, Amir Ahnaf dan Intan Najuwa.

Berterima kasih atas peringatan yang diberikan, Scha turut berpesan agar pengguna alam maya tidak melemparkan kata-kata nista sewenang-wenangnya.

“Caci, maki dan hinaan itu adakah dihalalkan? Jangan pernah sesekali kita lupa dosa sesama manusia. Terima kasih atas segala peringatan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS