Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Halim Othman anggap ada sesuatu marakkan api kemarahan anak
Diterbitkan:  May 13, 2024 6:57 PM
Dikemaskini: 3:12 PM

Bekas penyampai radio, Halim Othman mendakwa ada sesuatu yang memarakkan api kemarahan Myra Natasya hingga anaknya itu mencetus kontroversi dengan membuat kenyataan dirinya adalah anak tidak sah taraf.

Menguatkan lagi dakwaannya, kata Halim, ibu Myra, Yusnita Omar sendiri menyedari perkara tersebut malah memaklumkan perkara sama mengenai anaknya.

“Perbualan kami tidak berlangsung baik. Dari situ saya kesan sesuatu yang tidak kena dengannya.

“Ibunya juga memaklumkan perkara yang sama, dia alami depresi. Kebelakangan ini banyak menyendiri dan jauhi keluarga,” katanya.

Justeru, menurut bekas pengacara rancangan kuiz popular Roda Impian itu, dia amat bimbangkan keadaan kesihatan Myra, 29.

Dia berkata mungkin wujud anasir luar yang membawa pengaruh negatif kepada Myra hingga pelakon itu berani membuat kenyataan terbabit.

“Saya bimbang dengan keadaannya dan juga risau dengan pengaruh-pengaruh tidak sihat, yang mungkin mempengaruhi dia mencetuskan sensasi untuk mendapatkan perhatian orang.

“Dia sekarang alami tekanan. Dia tinggal sendiri dan hampir lebih satu tahun kami tidak berjumpa.

“Semua mesej dan panggilan tidak berjawab. Begitu juga yang dihantar oleh ibunya,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Semalam, industri hiburan digemparkan dengan pengakuan Myra mengenai dirinya anak luar nikah kepada Halim, 59.

Kata Myra, Halim dan ibunya tidak pernah berkahwin di Thailand seperti yang dicanangkan sebelum ini dan dakwaan itu bertujuan menjaga aib kedua belah pihak.

Ibarat sudah terlalu lama memendam perasaan, perkara itu akhirnya dibongkarkan Myra yang kecewa berikutan tindakan Halim membelakangkannya dengan mengubah maklumat yang diberikan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

Myra yang juga jurulatih pasukan sorak berkonfrontasi dengan Halim mengenai maklumat bapa dan nama bapa angkat dalam surat beranaknya.

Namun, dalam perkongsian teks pesanan ringkas dikongsikan Myra, lelaki dipercayai Halim dilihat bertegas yang dia tidak perlu meminta izin anaknya ketika meminda maklumat tersebut.

Enggan mengeruhkan keadaan, Halim berkata dia dan ibu Myra akan sedaya-upaya mencari jalan penyelesaian.

Halim juga memohon masyarakat untuk memberi ruang kepada mereka untuk menyelesaikannya, serta tidak mencetuskan apa-apa spekulasi hingga keadaan reda.

“Saya dengan ibunya akan cari jalan selesaikan hal ini. Walaupun kami sedih dengan kenyataan yang dikeluarkannya, hujung pangkal dia tetap anak kami.

“Saya mohon masyarakat bertenang dan beri kami ruang untuk selesaikan isu ini.

“Kalau boleh saya tak mahu ulas panjang kerana ia hanya akan membuatkan masalah ini berlarutan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS