Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Alif bawa ustaz periksa, nafi buat konsert dalam gereja

Penyanyi dan pelakon Alif Satar sebelum ini mengambil pendekatan mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan apabila dituduh melakukan persembahan dalam sebuah gereja di London, United Kingdom (UK) kerana enggan mengeruhkan keadaan.

Kata Alif, dia tahu situasi akan reda dengan sendirinya terutama selepas beberapa pengguna media sosial tampil menjelaskan bahawa Alif Satar & The Locos memenuhi undangan di St John’s Hyde Park, London yang berfungsi sebagai sebuah dewan komuniti.

“Orang boleh berkata apa saja, itu sebab awalnya tidak mahu keluarkan sebarang kenyataan kerana faham sensitiviti masyarakat sama ada Muslim ataupun tidak. Kami tidak suka bertekak.

“Sebaik dapat undangan, kami terfikir sesuaikah lokasi itu dijadikan tempat persembahan. Sebagai Muslim kami tahu apa boleh dan tidak boleh.

“Mujur penganjur - juga orang Malaysia - kemudian maklumkan bahawa itu dewan komuniti, bukan gereja. Alhamdulillah, ada pelajar yang hadir pada persembahan itu turut tampil jelaskan perkara sebenar di media sosial,” katanya.

Tambah Alif, 33, dewan komuniti itu antaranya digunakan sebagai sebuah taska dan tempat permainan untuk kanak-kanak.

“Apabila sampai, kami lihat ramai keluarga Muslim dan bukan Muslim jadikan lokasi itu sebagai taska dan tempat kanak-kanak bermain.

“Kami bawa seorang ustaz ke sana untuk periksa lokasi itu bersama. Jadi memang benarlah ia hanya dewan komuniti yang dibina untuk masyarakat sekitar,” katanya.

Alif berkata demikian pada pelancaran lagu terbaru Alif Satar & The Locos berjudul Kumandang di W Hotel, Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, Marriott International Malaysia melancarkan Kumandang melalui kerjasama pertama seumpamanya dengan artis tempatan untuk mempamerkan kecemerlangan hospitaliti hotel berkenaan melalui kuasa muzik.

Kempen itu pada awal bermula sebagai pertandingan mencipta lagu untuk portfolio rakan kongsi perniagaan hotel dan resort Marriott Bonvoy di Malaysia. Daripada 35 penyertaan, Fairfield by Marriott Bintulu Paragon di Sarawak muncul sebagai pemenang dan tampil dalam video muzik Kumandang bersama Alif Satar & The Locos.

Alif Satar & The Locos mengundang perhatian di media sosial selepas pengguna alam maya menuduhnya membuat persembahan dalam sebuah gereja ketika mengunjungi negara tersebut bagi konsert jelajah pada 28 April lalu.

Gara-gara mengadakan konsert di lokasi yang disangka rumah ibadah penganut Kristian itu, nama Alif yang sebelum ini meraih pujian ramai atas usahanya menggerakkan kempen Geng Subuh Macam Jumaat juga mulai terjejas.

Bagaimanapun, menurut Alif, pengguna akaun yang memulakan polemik terbabit sudah memadam hantaran berkenaan di media sosial.

Katanya, sebagai manusia, mereka juga tidak lari daripada membuat kesilapan, justeru, berharap penjelasan diberikan dapat meleraikan dakwaan yang timbul.

“Kami bukanlah orang Islam terbaik dan sempurna namun, kami tahu lokasi itu tidak lagi jadi tempat sembahyang penganut agama lain, ia tiada simbol atau sebagainya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS